SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan segera mengatur pertemuan dengan beberapa pemilik syarikat ladang kelapa sawit besar di negara sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, perjumpaan tersebut dibuat bagi membincangkan peruntukan peratusan jumlah keluaran kelapa sawit syarikat tersebut perlu dijual dalam pasaran tempatan dengan harga yang murah.

“Sebelum ini, saya cadangkan supaya syarikat besar yang mempunyai ladang kelapa sawit besar dan memperoleh keuntungan sekurang-kurangnya setengah bilion ringgit mengikut cadangan yang saya berikan sebelum ini.

“Saya tidak minta banyak pun, saya minta peruntukan 10 peratus daripada hasil keluaran kelapa sawit dijual pada harga murah bagi pasaran tempatan.

“Apabila buah sawit dijual dengan harga murah, maka harga minyak masak boleh dijual dengan murah,” katanya dalam program Minum Petang Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 16, di sini hari ini.

Anwar menegaskan bahawa beliau tidak gentar untuk membuat permohonan berkenaan kepada syarikat-syarikat tersebut kerana beliau lebih mementingkan kesusahan rakyat berbanding jumlah keuntungan yang lebih kecil yang bakal diperoleh syarikat ini.

Oleh demikian, beliau meminta pengundi di Parlimen Shah Alam untuk mengundi calon PH bagi kerusi Parlimen itu, Azli Yusof pada 19 November ini.

“Sama-sama kita jadikan Shah Alam sebagai kubu kuat bagi PH.

“Ini bukan kerana mahu jadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, tetapi kita mahu menukar sistem yang mana pemimpin curi duit rakyat,” tegasnya. – UTUSAN

The post Jumpa pemilik syarikat ladang kelapa sawit besar sekiranya dilantik PM – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *