PETALING JAYA: Tanpa disangka, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memperkuatkan skuad negara di Kejohanan Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 14 hingga 19 Februari.

Jaguh Asia, Lee Zii Jia kekal menjadi sandaran utama, namun penyenaraian Jun Hao cetuskan persoalan tatkala perseorangan lelaki utama badan induk itu, Ng Tze Yong disisihkan.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann menjelaskan Tze Yong terpaksa dikecualikan daripada saingan berpasukan itu untuk dipersiapkan menghadapi jadual padat kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula 1 Mei depan.

“Kami memutuskan untuk tidak menyenaraikan Tze Yong kerana memang dari awal kita berasa yang dia memerlukan waktu latihan yang cukup demi persiapan untuk fasa kedua selepas siri kejohanan di Asia bulan ini. Ini penting untuk kita meletakkan dia di landasan tepat seperti perancangan awal kami terhadap dia.

“Selepas ini, tidak banyak masa untuk dia melakukan persapan untuk tempoh jangka masa yang panjang apabila pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik bermula pada Mei nanti. Jadi, kita anggap ini adalah satu fasa yang penting demi memenuhi sasaran untuk dia layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kami percaya persiapan awal ini boleh mengukuhkan lagi progres peningkatan Tze Yong dan sebab itu kami mengetepikan dia daripada misi di BAMTC kali ini,” kata Choong Hann.

Tiga lagi pemain profesional yang turut dipanggil BAM untuk membarisi skuad kali ini merupakan perseorangan wanita, Goh Jin Wei, beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Mereka akan membentuk gandingan ampuh dengan pemain badan induk itu terdiri daripada juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu campuran meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta perseorangan wanita muda negara, Wong Ling Ching.

“BAM sudah pun berkomunikasi dengan mereka sebelum ini dan semuanya bersetuju untuk bermain sebelum kami mengeluarkan senarai pemain yang akan beraksi di BAMTC kali ini,” katanya.

Malaysia belum pernah mara ke peringkat separuh akhir dalam dua edisi yang diadakan sebelum ini iaitu di Hanoi 2017, disusuli Hong Kong 2019.

The post Jun Hao jadi taruhan ganti Tze Yong perkuatkan skuad BAMTC appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *