JAKARTA: Seorang juruterbang warga New Zealand dijadikan tebusan oleh puak pemisah di wilayah Papua, Indonesia.

Kumpulan pemisah itu turut mengancam untuk membunuh juruterbang berkenaan, dikenali sebagai Kapten Philip Mehrtens.

Memetik laporan BBC, lelaki itu dijadikan tebusan selepas pesawat dipandunya dibakar ketika mendarat di daerah pegunungan Nduga.

Lima penumpang yang menaiki pesawat itu termasuk seorang kanak-kanak kecil dipercayai telah dibebaskan. 

Puak pemisah itu menuntut Indonesia mengiktiraf kemerdekaan wilayah Papua Barat. 

Menurut polis, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu, namun menyatakan kawasan itu sukar ditembusi dan hanya boleh diakses melalui laluan udara.  

Kumpulan Tentera Pembebasan Papua Barat mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Jurucakap kumpulan itu, Sebby Sambom berkata, juruterbang itu akan dihukum bunuh sekiranya Indonesia masih berkeras dan gagal berunding mengenai kemerdekaan Papua Barat.

Kerajaan New Zealand menyatakan pihaknya maklum dengan kejadian itu dan konsulatnya di Jakarta menyalurkan bantuan kepada keluarga Mehrtens.

Dilaporkan, ketika kejadian, pesawat milik Susi Air sedang membawa bekalan dari bandar perlombongan Timika.    

The post Juruterbang New Zealand dijadikan tebusan puak pemisah di Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *