PUTRAJAYA: Jutaan pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia berdepan penyakit kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali) sekali gus berisiko mengalami kecacatan kekal pernafasan dan kematian.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di negara ini, malah jumlahnya semakin bertambah hingga memerlukan kejadian penyakit Evali perlu dipantau. 

Beliau berkata, penyakit Evali mula didiagnosa pada tahun 2019 di Amerika Syarikat apabila sebanyak 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian.

Katanya lagi, bagi kes Evali yang dilaporkan di Malaysia sehingga kini merekodkan dua kes pada tahun 2019, manakala lapan kes dikenal pasti melalui kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya pada tahun 2021.

“Namun, jumlah yang dilaporkan ini berkemungkinan lebih rendah dari jumlah kes yang sebenar akibat tiadanya garis panduan serta penerangan tentang Evali. Penyakit ini sangat bahaya dan ia wujud dan mitos mengatakan ia lebih selamat dari rokok tembakau tapi tidak bermakna ia sifar risiko.

“Bagi tahun 2022 pula, bermula dari Jun hingga September iaitu selepas arahan notifikasi dikeluarkan, sebanyak empat kes disyaki Evali dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan dan dalam penyiasatan lanjut pegawai di lapangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Evali, di sini hari ini. 

Khairy berkata, walaupun data bagi kejadian wabak Evali di Amerika Syarikat menunjukkan vitamin E-Asetat adalah bahan kimia yang banyak dijumpai dalam kajian makmal cecair e-liquid, bahan kimia lain juga berisiko menyebabkan Evali.

Katanya, walaupun Evali hanya bertumpu pada sistem pernafasan, penggunaan rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan gejala-gejala selain gejala pernafasan seperti kebas anggota badan, berdebar-debar dan halusinasi. 

“Keadaan ini sangat berisiko dan dapat meningkatkan kadar morbiditi dan kematian. Malah anggaran kos bagi merawat seorang pesakit Evali yang dimasukkan ke dalam hospital selama empat hari adalah sebanyak RM50,297.37,” katanya.

Beliau berkata, bagi memantau perkara ini, terdapat dua kriteria utama yang perlu ada bagi diagnosa Evali iaitu sejarah pendedahan kepada rokok elektronik atau vape dan terdapat perubahan radiologi pada X-ray atau CT-Scan paru-paru.

“Berdasarkan definisi Evali oleh CDC pada tahun 2019, pengesanan dan rawatan awal boleh diberikan kepada pesakit-pesakit yang disahkan mengidap Evali supaya komplikasi jangka panjang dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kos rawatan.

“Bayangkan jika intervensi awal tidak dilakukan ataupun tabiat ini tidak dicegah, pastinya beban kerajaan dalam menanggung kos-kos rawatan penyakit akibat komplikasi rokok konvensional dan rokok elektronik akan bertambah,” katanya. – UTUSAN

The post Jutaan pengguna vape berpotensi mengalami kecederaan paru-paru  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *