PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) telah mengambil alih anak syarikat Future NRG Sdn. Bhd., Future Biomass Gasification Sdn. Bhd.(FBG), dan aset loji janakuasa biogasnya pada harga RM15 juta.

Kumpulan itu berkata, KAB Energy Holdings Sdn. Bhd. (KABEH) telah menandatangani perjanjian jual beli saham berikutan pemeteraian lembaran terma mengenai cadangan pemerolehan pada 9 November 2022, serta penyempurnaan proses usaha wajar.

“Kilang janakuasa biogas di Kuala Kertil, Kedah, yang mempunyai kapasiti terpasang 2.4 juta MW, menangkap gas rumah hijau yang dibebaskan daripada efluen minyak sawit dan menukarkan gas itu kepada elektrik menggunakan penjana enjin biogas yang sangat cekap.

Tenaga elektrik yang dijana oleh loji janakuasa biogas dibekalkan kepada grid nasional, dan seterusnya ke pekan dan kampung berhampiran di bawah program Feed-In Tariff,” katanya dalam kenyataan. 

Susulan pengambilalihan itu, penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga itu berkata, ia juga akan mengiktiraf hasil daripada perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui (Reppa) sedia ada Future Biomass Gasification dengan Tenaga Nasional Berhad.

Reppa bermula pada 2018 dan berkuat kuasa selama 16 tahun sehingga 2034.

Pemerolehan FBG dijangka siap pada suku kedua 2023, dan akan dibiayai oleh gabungan pinjaman bank dan dana yang dijana secara dalaman.

Setelah selesai pemerolehan, segmen Penyelesaian Tenaga Lestari (SES) KAB akan memiliki loji janakuasa biogas pertamanya. 

Portfolio SES KAB pada masa ini mempunyai solar sistem fotovoltaik, penjanaan bersama, dan aset pemulihan haba buangan di Malaysia dan Thailand. – UTUSAN

The post KAB peroleh kilang janakuasa biogas bernilai RM15 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *