KUALA LUMPUR: Kabinet kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka diumumkan esok.

Menurut sumber Utusan Malaysia, saiz Kabinet itu dikurangkan sehingga 60 peratus berbanding kerajaan terdahulu iaitu hanya terdiri daripada 25 jemaah menteri.

Selain itu, dua timbalan perdana menteri akan dilantik dalam Kabinet tersebut.

Katanya, dua individu itu adalah pimpinan daripada dua blok terbesar selain Pakatan Harapan (PH) iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdahulu, akaun Facebook Istana Negara telah muat naik empat keping foto yang memaparkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Perdana Menteri.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, selepas enam hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada Khamis lalu, Anwar belum mengumumkan barisan Kabinetnya, dipercayai kerana masih berbincang dengan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan dan memikirkan keadilan kepada mereka.

Jika mengambil kira situasi ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7 selepas PRU14, beliau mengumumkan senarai penuh barisan Kabinet lapan hari selepas mengangkat sumpah sebagai mengetuai kerajaan.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir terlebih dahulu mengumumkan tiga jawatan kementerian yang paling kanan dua hari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei 2018.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengambil tempoh lebih kurang sama mengumumkan senarai Kabinet pimpinannya iaitu selepas lapan hari dilantik Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020 ekoran peletakan jawatan Dr. Mahathir pada 24 Februari 2020.

Tempoh lebih singkat diambil Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membentuk pasukan Kabinet beliau iaitu selama enam hari selepas dilantik Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021.

Kelewatan pengumuman barisan jemaah menteri kerajaan baharu ini ekoran pelantikan Perdana Menteri yang tertangguh selama enam hari ekoran ketiadaan gabungan parti politik menang majoriti 112 kerusi, mengakibatkan Parlimen tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Namun, kekusutan itu dileraikan Yang-di-Pertuan Agong melalui cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan diketuai Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan parti gabungan lain tidak termasuk Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN

The post Kabinet Anwar diumum esok? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *