PETALING JAYA: Pembentukan saiz Kabinet yang kecil di bawah pentadbiran kerajaan baharu dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam  situasi ketidaktentuan ekonomi negara dan dunia ketika ini.

Presiden Persatuan Akademik (MPPA), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, berdasarkan beberapa siri kempen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar pernah menyatakan bahawa saiz Kabinet akan dikecilkan berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, kewujudan sesetengah kementerian perlu dikekalkan terutama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Kami pensyarah-pensyarah, malah ahli-ahli yang bernaung di bawah persatuan-persatuan akademik di bawah KPT berpandangan bahawa sektor pengajian tinggi akan dapat diuruskan dan ditadbir dengan lebih efisien jika di bawah sesuatu kementerian khusus. 

“Kita juga semua sedia maklum, sektor pengajian tinggi juga antara  sektor yang besar selain mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik dan pembangunan modal insan yang berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan. 

Ahmad Faisal berkata, mereka bagaimanapun menyerahkan kepada Anwar untuk menentukan keputusan tersebut dan sedia maklum bahawa pelantikan menteri-menteri kabinet adalah prerogatif daripada Perdana Menteri.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA) berkata,  MPPA mengucapkan sekalung tahniah kepada Anwar atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan berharap kestabilan politik dapat dicapai serta keamanan negara sentiasa terpelihara. 

“Kami harap dengan pelantikan ini, kestabilan politik dapat dicapai sekali gus membolehkan semua rakyat khususnya kami di dalam sektor pengajian tinggi dapat fokus kepada tanggungjawab hakiki.

“Kami percaya bahawa Anwar  akan memimpin kerajaan di samping menteri-menteri yang bakal dilantik kelak ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang berwibawa,” katanya. – UTUSAN

The post Kabinet kecil jimat belanja, namun ada kementerian perlu kekal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *