PONTIAN: Penyebaran Kabinet Perpaduan Malaysia 2022 yang tular dalam media sosial sejak semalam hanyalah tindakan terdesak pihak tidak bertanggungjawab yang kecewa dengan hidup mereka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang perbincangan bersama gabungan lain dan menyifatkannya sebagai kerja yang langsung tidak berfaedah.

Beliau malah menyifatkan Kabinet Perpaduan tersebut adalah carta yang disediakan oleh ‘mamat tepi jalan’ dan selepas ini akan ada banyak lagi Kabinet Bayangan, Kabinet Bunian serta Kabinet carca-marba.

“Kami menegaskan bahawa tiada langsung perbincangan untuk Kabinet seperti infografik yang hanya berniat jahat mengganggu perasaan pengundi menjelang hari pengundian pada 19 November ini,” katanya selepas menyertai Konvoi Bermotosikal Anak Muda Barisan Nasional (BN) di Kampung Lubok Sipat, Benut, hari ini.

Semalam, carta Kabinet Perpaduan Malaysia 2022, tular dalam media sosial sehingga menimbulkan pelbagai perdebatan dalam kalangan netizen. 

Kabinet Perpaduan itu memaparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tiga pemimpin lain, iaitu Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pula disenaraikan sebagai tiga Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad yang juga calon BN di Parlimen Pontian meminta jentera UMNO dan BN supaya terus fokus dan tidak mengendahkan taktik lawan yang mahu melemahkan semangat mereka dalam saat genting ini.

“Kita lupakan dahulu gangguan-gangguan serta serangan yang dihalakan kepada parti untuk melemahkan semangat jentera dengan fokus memujuk pengundi BN sehinggalah hari mengundi nanti,” katanya.

 Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ahmad yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian ditentang calon daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Isa Ab. Hamid; calon Pakatan Harapan (PH), Shazwan Zdanial Abidin dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohamad.

Parlimen Pontian mempunyai seramai  75,026 pengundi dengan 70 peratus kaum Melayu, 28 peratus Cina, 1 peratus India dan Lain-Lain kaum 1 peratus. – UTUSAN

The post Kabinet Perpaduan: Dibuat ‘mamat tepi jalan’ – Ahmad Maslan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *