PETALING JAYA: Kadar inflasi di Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022, berbanding 4.0 peratus bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding bulan sebelumnya (7.3 peratus) menyumbang kepada inflasi lebih rendah negara.

“Itu diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022.

“Namun, restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding 7.0 peratus pada November 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021.

Jelasnya, peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.8 peratus), restoran dan hotel (5.0 peratus) serta pengangkutan (4.7 peratus).

“Konflik antara Russia dan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada tahun lalu menyumbang kepada kenaikan inflasi,” katanya.

Sementara itu, inflasi bagi suku keempat 2022 meningkat 3.9 peratus kepada 128.9 berbanding 124.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Mengulas inflasi di peringkat negeri pula, Mohd. Uzir menjelaskan, empat negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional 3.8 peratus iaitu Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.5 peratus), Sarawak (4.1 peratus) dan Johor (3.9 peratus).

Namun katanya, Kedah merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.2 peratus.

“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Sarawak masing-masing 8.4 peratus diikuti oleh Putrajaya (7.5 peratus), Sabah (7.4 peratus) dan Johor (6.9 peratus).

“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 6.8 peratus pada Disember 2022,” katanya.

Dalam pada itu, inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan mencatatkan peningkatan 4.1 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 8.1 peratus.

Selain itu, kumpulan restoran dan hotel turut mencatatkan kenaikan 7.4 peratus, diikuti pengangkutan (7.3 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.4 peratus).

Mengulas mengenai inflasi negara lain, Mohd Uzir berkata, kadar inflasi Zon Euro mereda kepada 9.2 peratus pada Disember 2022 daripada 10.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Katanya, peningkatan perlahan ini didorong oleh inflasi tenaga yang mereda kepada 25.7 peratus berbanding 34.9 peratus pada bulan sebelumnya.

“Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) mereda kepada 6.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 (7.1 peratus).

“Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (3.8 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (8.1 peratus), Thailand (5.9 peratus), Indonesia (5.5 peratus) dan Korea Selatan (5.0 peratus),” katanya. – UTUSAN

The post Kadar inflasi mereda kepada 3.8% pada Disember 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *