JAKARTA: Agensi Statistik Kebangsaan Indonesia (BPS) mendedahkan kadar kemiskinan di wilayah Bali mencecah 4.53 peratus pada September tahun lalu.

Peratusan tersebut adalah paling rendah dilaporkan dalam kalangan wilayah lain di Indonesia.

Lapor portal Antara, Ketua Pasukan Statistik Sosial di pejabat perwakilan Bali BPS, Dedi Cahyono berkata, Bali merupakan antara lima wilayah teratas yang merekodkan kadar kemiskinan yang rendah pada September 2022.

Empat wilayah lain yang turut mencatatkan kadar kemiskinan rendah adalah Kalimantan Selatan iaitu sebanyak 4.61 peratus, Bangka Belitung (4.61 peratus), Jakarta (4.61 peratus) dan Kalimantan Tengah (5.22 peratus).        

Pada tempoh yang sama, kadar kemiskinan di wilayah Bali juga jauh lebih rendah berbanding purata peratusan negara sebanyak 9.57 peratus.

“Pada Mac tahun lalu, kadar kemiskinan di Bali iaitu sebanyak 4.57 peratus direkodkan sebagai ketiga terendah dalam ranking negara,” katanya.

Kadar kemiskinan di Bali pada September 2022 dilaporkan menurun sebanyak 0.04 mata peratusan daripada Mac 2022, selain susut 0.19 berbanding September 2021.

Berdasarkan data BPS, seramai 205,360 penduduk miskin yang menetap di Bali pada September 2022.

Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 320 berbanding Mac 2022 dan menyusut 6,100 daripada statistik dilaporkan September 2021.   

Menurut Dedi, sepanjang tempoh itu, kadar kemiskinan bandar mencatatkan 4.12 peratus, menurun 0.11 mata peratusan berbanding 4.23 peratus pada Mac tahun lalu. 

Selain itu, kadar kemiskinan luar bandar merekodkan 5.58 peratus pada September 2022, meningkat 0.19 mata peratusan daripada 5.39 peratus pada Mac 2022.

“Bilangan penduduk miskin di kawasan bandar di wilayah itu menurun sebanyak 2,240 daripada 136,060 pada Mac 2022 kepada 133,820 pada September 2022,” jelasnya. 

The post Kadar kemiskinan Bali antara paling rendah di Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *