KOTA BHARU: Nasib legenda bola sepak Kelantan, Mohd. Hashim Mustapha yang kehilangan kaki kirinya akibat jangkitan kuman turut mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan rakan seperjuangan beliau.

Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid bersama beberapa bekas pemain yang sezaman dengan Mohd. Hashim menziarahi pemain legenda itu di rumahnya semalam.

“Saya mewakili KAFA bersama beberapa rakan seperjuangan Hashim datang menyerahkan sumbangan hasil kutipan perlawanan amal anjuran KAFA dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan yang berjumlah RM7,231.

“Kita semua bersimpati atas nasib menimpa legenda bola sepak kita yang telah banyak menabur jasa kepada arena bola sepak di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pada 24 Oktober lalu KAFA dengan kerjasama SUK Negeri Kelantan telah menganjurkan Perlawanan Amal Mengutip Dana Untuk Mohd. Hashim Mustapha antara bekas pemain Kelantan dan Terengganu secara percuma di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Kaki kiri Mohd. Hashim yang merupakan bekas penyerang prolifik Kelantan terpaksa dipotong selepas salur darah tersumbat akibat jangkitan kuman dialami sejak Mac lalu.

Ahmad Muzakkir memberitahu, Mohd. Hashim jelas teruja menerima kunjungan rakan-rakan seperjuangannya dan ia sedikit sebanyak membantu beliau untuk pulih daripada trauma akibat kehilangan kaki kirinya itu.

“Mohd. Hashim yang kami kenali merupakan seorang yang kuat semangat juangnya dan kami yakin dengan sokongan keluarga dan rakan, beliau akan bangkit kembali selepas ini.

“Pasti akan ada sesuatu cara tertentu yang membolehkan beliau terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak tempatan,” ujarnya.

The post KAFA, rakan seperjuangan prihatin nasib Hashim appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *