SIAPA yang tahu apa yang mendatang. Kalau saya tadi berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan jadi begini atau begitu.

Tetapi katakanlah yang benar ini: Bahawa “ini sudah takdir Allah dan apa dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan.”

Bukankah perkataan ‘kalau’ itu akan membukakan jalan yang tidak diredai-Nya? Hindarkan tidak puas hati dengan takdir.

Dalam politik semasa tanah air kita boleh jumpa elemen serupa ini. Untuk menghindar masuk ke medan tempur Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seakan dicanang macam-macam.

Barangkali belum bersedia kerana kurang yakin diri momentum untuk partinya tidak seberapa, lantas diuar-uarkan situasi akan ditimpa bencana – empangan besar akan retak atau kemungkinan gelombang membadai lagi seperti mana banjir besar Kelantan 2014-2015 atau banjir Lembah Klang yang menenggelamkan Taman Sri Muda, Shah Alam; Klang, Hulu Langat dan Kuala Langat pada 18-19 Disember tahun lalu.
Malah, ada parti politik itu sampai beria-ia meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memansuhkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) sekiranya enggan mendengar nasihat jabatan itu untuk tidak mengadakan PRU15.

Ya, kalau pun benar sekali seperti mana dipetik pengerusi parti terbabit bahawa seorang pegawai Met Malaysia mencadangkan PRU15 tidak berlaku tahun ini kerana akan ada banyak lokasi di seluruh negara menghadapi bencana banjir, kita masih boleh lagi terima hujah ini.

Kata pegawai itu lagi, musim tengkujuh dijangka bermula pertengahan November dan berakhir Mac tahun depan, sekali gus berkemungkinan hujan lebat berterusan di banyak negeri.

 

BUKANKAH dengan terpilihnya sebuah kerajaan yang stabil menerusi mandat rakyat dari PRU15 akan melicinkan lagi kerja-kerja menangani bencana banjir besar jika terjadi? Kelak takkan berlaku pertindihan kerja-kerja menyelamat yang ada ketika agensi sebenar pun tidak nampak batang hidung.

 

SEBELUM 15 NOVEMBER

Jadi, dengan alkisahnya begitu, bukankah elok PRU15 dijalankan segera sebelum 15 November ini?

Tidak kisahlah siapa yang rakyat pilih di akhirnya. Kalau Barisan Nasional (BN), BN lah; jika Pakatan Harapan (PH), PH lah dan andai kata Perikatan Nasional (PN), PN lah pemerintahnya.

Dengan terpilihnya sebuah kerajaan yang stabil menerusi mandat rakyat dari pilihan raya, nescaya tidak akan ada lagi seperti sekarang yang bercampur-baur anggota Kabinetnya dari parti-parti yang berbeza ideologi perjuangan. Bukankah itu nanti akan melicinkan lagi kerja-kerja menangani bencana banjir besar jika terjadi. Takkan berlaku pertindihan kerja-kerja menyelamat. Ada ketika agensi sebenar tidak nampak batang hidung.

Yang kita rakyat risaukan adalah ‘sekejap pakai satu baju, sekejap lagi pakai dua baju’. Dan ‘sekejap bantai pencapaian ekonomi di bawah pemimpin sekarang yang kononnya tidak seperti dicapainya dahulu’, walhal yang membantai itu masih dalam pentadbiran hari ini berkaitan soal `pemulihan’.

Kalau di malam keputusan PRU15 nanti tidak ada mana-mana parti mempunyai majoriti, bagaimana? Sekali lagi yang itulah diperdebatkan dalam kolum kali ini dengan judulnya, ‘kalau kalau, jikalau’ – harus dilenyapkan dalam fikiran.

Muktamadkan segera parti yang mana menjadi pilihan rakyat. Dengan politik cacamarba, diburukkan lagi kadar ringgit makin menyusut akibat ketidaktentuan ekonomi, Malaysia sebenarnya amat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil – yang tidak diributkan dengan mainan politik ‘angka, tipu helah dan muslihat’.

PECAH UMMAH

Sesekali menoleh ke belakang, kita turut cuak dengan sentimen dimainkan parti politik tertentu yang asyik mencanangkan istilah ‘penyatuan ummah’ sehinggakan dalam banyak situasi ia cuba dimanipulasikan.

Kalaulah benar parti terbabit jujur mahukan penyatuan ummah, mengapa setelah tertubuh Muafakat Nasional (MN), beberapa bulan kemudian dia bersama sebuah lagi parti mewujudkan gabungan politik lain.  Mengapa tidak bubar sahaja gabungan itu dan masuk ke MN? Ini bukan menyatukan ummah, tetapi lagi pecahbelahkan ummah.

Dan mengapa beria-ia pula waktu ini memperjuangkan ‘penyatuan ummah’ dalam kalangan tiga parti Melayu, sedangkan di masa-masa lalu sanggup pula ber ‘penyatuan ummah’ dengan parti yang menjadi musuh utama sekarang?

Gabungan politik seperti Pakatan Rakyat (DAP-PKR- Pas) itu semua dulu berteraskan ‘perpaduan dan penyatuan ummah’ kah?

Imam Nawawi mengatakan perkataan, ‘kalau’ tercampak ke dalam hati manusia untuk menentang qadar Allah dan membuka ruang kepada syaitan untuk melakukan keraguan.
Hal ‘kalau kalau’ ini ditegah oleh Allah SWT seperti dinyatakan dalam al-Quran:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang (munafik) yang sudah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh.” (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu, penyesalan dalam hati mereka.

“Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan”. (Ali Imran: 156)

Menyegerakan PRU15 satu-satunya jalan terbaik untuk memperbetulkan kembali Malaysia ke trek landasannya. Dengan akta lompat parti telah berkuat kuasa, sudah dijamin tidak akan ada lagi wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) melompat parti.

Tidak kiralah apa jua profesion, lebih-lebih lagi yang menggunakan ucapan dan syarahan sebagai medium utama profesion seperti ahli politik, kita perlu berhati-hati ketika memilih setiap perkataan.

‘Kalau kalau jikalau’ – sekali gus mengingatkan kita pada penghibur Hollywood Bob Hope. Hope pernah menyindir ada ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan ‘sehinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka’.-UTUSAN

The post ‘Kalau kalau jikalau…’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *