DOHA: Bagi kebanyakan peminat bola sepak, aksi pembukaan Piala Dunia 2022 hari ini kurang mencuri tumpuan kerana ­hanya melibatkan pasukan ranking ke-50 dunia, Qatar bertemu pasukan No. 44, Ecuador.

Begitupun, tanggapan itu mungkin akan berubah apabila melihat apa yang bakal ditawarkan Ecuador di Qatar.

Diberi gelaran La Tricolor, Ecuador bukan sahaja bersedia mengecewakan jutaan rakyat Qatar dalam perlawanan pertama mereka, malah ‘menggegar’ Piala Dunia 2022, kata pengendali mereka, Gustavo Alfaro.

“Generasi sebelum ini yang cuba meloloskan diri ke peringkat kalah mati di Russia 2018 telah gagal, namun sudah empat tahun kegagalan itu berlaku.

“Banyak yang telah berlaku sejak tempoh itu.

“Ramai pemain baharu, lebih segar, kuat dan bersemangat,” kata Alfaro yang dipetik dari laman World Soccer.

Moises Caicedo dan Enner Valencia antara pemain utama yang akan memimpin Ecuador untuk mencari tiket ke peringkat kalah mati selaku dua pasukan terbaik Kumpulan A.

Biarpun tidak diberi harapan tinggi dalam Piala Dunia kali ini, kejayaan Ecuador mengatasi Peru, Colombia, Chile dan Paraguay untuk menduduki tempat keempat zon kelayakan Amerika Selatan membuktikan mereka bukan lawan mudah.

Bintang tengah Brighton, Caicedo yang baru berusia 20 tahun menjadi sandaran untuk membawa negaranya melangkah jauh, selain pemain Bayer Leverkusen, Piero Hincapie. – AGENSI

The post Kami ada kelebihan untuk menang – Alfaro appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *