KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan parti yang hanya berada di aplikasi TikTok, sebaliknya adalah parti di akar umbi yang sentiasa mendengar suara rakyat daripada pelbagai kelompok. 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, buktinya parti itu mempunyai 13,205 cawangan dan akan mengenal pasti sikap anak-anak muda dari pelbagai kumpulan dengan minat serta kecenderungan berbeza. 

“Paling penting ialah anak-anak muda. Fokus Pemuda ialah menggerakkan cawangan di peringkat akar umbi, sebab inilah kekuatan kita di dalam BN. Kita bukan parti di TikTok, kita parti di akar umbi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini. 

Mesyuarat itu bertujuan sebagai persiapan akhir menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan menguatkan jentera parti khususnya berdepan banjir yang diramal pada hujung tahun ini. 

Asyraf sebelum itu memaklumkan yang Pemuda UMNO telah menghantar senarai calon kepada pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada PRU15. 

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah calon yang dihantar kerana kuota calon muda bukan keutamaannya. 

Katanya, sebanyak 70 peratus calon muka baharu yang telah disenarai dan dihantar kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk proses penilaian akhir sebelum bertanding dalam pilihan raya. 

“Prinsip saya dari dahulu adalah kita bukannya pergi kepada angka, paling penting adalah kita memenuhi ciri-ciri boleh menang, diterima dan disukai rakyat,” katanya. UTUSAN

 

 

The post Kami bukan parti di TikTok, kami parti akar umbi – Asyraf Wajdi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *