SHAH ALAM: Penduduk Kampung Padang Jawa, di sini kecewa kerana masih menghadapi banjir kilat setiap kali hujan.

Menurut seorang penduduk, Mimi Harianie Alias, 40, isu banjir tidak boleh dilengah-lengahkan untuk diselesaikan kerana impaknya sangat membimbangkan.

MIMI HARIANIE ALIAS

“Banjir besar tahun lepas menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit kepada penduduk di sini. Semalam air naik semula tetapi nasib baik tidak sampai masuk ke dalam rumah. Hendak tidur pun tidak lena takut air naik mengejut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan beberapa lokasi di sekitar Shah Alam dikatakan mula banjir susulan hujan lebat petang ini, sejak pukul 3 petang hingga 6.30 petang.

Menerusi perkongsian di media sosial mendapati antara lokasi tersebut termasuk di Seksyen 17, 24 dan 32 air mula melimpah.

Seorang penduduk Seksyen 24, Abu Bakar Latif, 50, berkata, banjir semalam menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air.

ABU BAKAR LATIF

“Saya berharap pihak berkuasa segera melaksanakan projek tebatan banjir bagi memastikan banjir kilat mahupun besar tidak berulang.

“Selesaikan segera masalah banjir, kerana hari pilihan raya pun hampir tiba. Saya bimbang tiada yang turun mengundi jika Shah Alam banjir,” katanya. – UTUSAN

 

The post ‘Kami sudah letih hadapi banjir kilat’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *