RANTAU PANJANG: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas kereta jenis Perodua MyVi dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabas di Jalan Lubok Stol, di sini semalam.

Tiga lagi ahli keluarga kanak-kanak berkenaan bagaimanapun mengalami kecederaan iaitu Mohd. Khairi Ismail, 32, (bapa) patah kaki kanan dan luka ringan, ibu (Siti Mariam Sidi Ahmad, 32) patah kaki kiri serta luka ringan, manakala Muhammad Hud Afkar, 4, (adik) patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku pada pukul 10.30 pagi.

Menurutnya, kereta yang dipandu bapa kanak-kanak berkenaan dari arah Lalang Pepuyu menghala ke Rantau Panjang hilang kawalan setiba di lokasi kejadian dipercayai akibat permukaan jalan licin kerana hujan.

“Situasi itu menyebabkan kereta tersebut terbabas ke bahu jalan dan kemudian melanggar sebatang pokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kanak-kanak tersebut, Muhammad Hud Afkar Mohd. Khairi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada pukul 7.19 malam.

Beliau memberitahu, bapa, ibu dan adik kepada kanak-kanak berkenaan yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN

 

The post Kanak-kanak enam tahun maut kemalangan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *