BALING: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas dalam salah sebuah kolam air panas ketika beriadah bersama keluarga di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Ulu Legong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada Hospital Daerah Baling yang memaklumkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia.

“Daripada hasil siasatan, kejadian kira-kira pukul 8 malam pada Sabtu lalu itu berlaku selepas kanak-kanak terbabit berada di kawasan tersebut bersama ahli keluarganya bagi tujuan riadah.

“Pada awalnya, mangsa mandi di ruangan kolam kanak-kanak, namun kemudian dia hilang daripada pandangan dan warisnya gagal mencari mangsa di sekitar kolam berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsudin berkata, kira-kira 15 minit kemudian, kanak-kanak tersebut dijumpai oleh pengunjung yang sedang mandi di salah satu ruangan kolam dewasa.

“Kanak-kanak tersebut dibawa keluar dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bantuan awal pernafasan (CPR) diberikan dan waris menghubungi hospital sebelum ambulan membawanya ke unit kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital pada pukul 11.20 malam dan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu mana-mana individu yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak yang mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Justeru, Shamsudin menasihati masyarakat khususnya ibu bapa yang berkunjung ke Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak berulang kejadian tidak diingini pada masa akan datang. –UTUSAN

The post Kanak-kanak lemas di kolam air panas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *