JOHOR BAHRU: Kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu dikesan di perairan Indonesia pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, malam semalam.

Kapal kargo yang berdaftar di Malaysia itu membawa muatan 527 besi paip yang dianggarkan bernilai RM726,000 berlepas dari Jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember lalu dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menerusi ‘Maritime Rescue Sub Centre’ (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang semalam mengenai kehilangan kapal itu.

Maklumat diterima ekoran satu laporan polis yang dibuat pukul 12.11 tengah hari semalam oleh ejen kapal yang mendakwa kapal sepanjang 52 meter hilang dari radar mereka.

Katanya, lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi ‘Automatic Identification System’ (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia, 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

“Maklumat terkini yang diperoleh pada 10.42 malam semalam, satu isyarat kecemasan ‘Emergency Position Indicatior Radio Beacon’ (EPIRB) telah dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat. 

“Isyarat kecemasan ini dikesan oleh ‘Malaysia Mission Control Centre’ (MYMCC) dan ‘Police Operation Command Centre’ (POCC) Singapura.

“Sejurus maklumat diperoleh, Maritim Malaysia Johor telah menghubungi pihak berkuasa Indonesia untuk membantu mengesan kapal tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Maritim Malaysia Johor, di sini hari ini.

Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

Setakat ini pihaknya masih belum mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa Indonesia berkaitan kehilangan kapal kargo tersebut.

Pihaknya sedia menggerakkan aset Maritim Malaysia ke lokasi sekiranya diperlukan dan memaklumkan Pejabat Maritim Malaysia Kuching, Sarawak mengenai perkembangan tersebut.

Beliau enggan membuat sebarang spekulasi tentang nasib yang menimpa kapal tersebut sama ada dirampas lanun ataupun berdepan masalah teknikal akibat faktor cuaca.

“Kami tidak mahu membuat sebarang andaian mengenai apa yang berlaku tanpa mendapat gambaran atau maklumat yang jelas. Ini kerana di laut macam-macam boleh terjadi.” katanya sambil memberitahu pihak MRSC Johor Bahru turut menghantar NAVTEX bagi memohon bantuan komuniti maritim sekiranya mempunyai maklumat tentang kehilangan kapal tersebut.

Komuniti maritim diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Johor menerusi talian 07-2199401 sekiranya mempunyai maklumat. –UTUSAN

The post Kapal kargo dilapor hilang, isyarat terakhir dikesan di perairan Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *