SUNGAI PETANI: Yayasan Jariah Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) akan menganjurkan Karnival Anak Muda pada 4 November ini bertempat di Dataran Pantai Merdeka, di sini.

Ketua Penyelaras Program, Nurul Alia Natasha berkata, karnival yang dianjurkan buat julung kali di Sungai Petani itu akan memfokuskan peranan dan peluang yang disediakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Mara Corporation dalam membangunkan masyarakat luar bandar sekali gus meningkatkan produktiviti anak muda.

”Karnival yang berlangsung selama sehari ini akan memfokuskan pada pameran pendidikan, kemahiran dan kerjaya yang menampilkan penglibatan beberapa agensi di bawah Mara dan Mara Corporation mengenai peluang yang ditawarkan untuk anak muda di luar bandar.

“Generasi muda luar bandar seharusnya diberikan peluang untuk mengetahui lebih terperinci tentang kemudahan yang disediakan kerajaan di bawah KPLB dan pendedahan melalui karnival ini amat penting bagi mengelak mereka terlepas peluang yang disediakan khas untuk mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Alia berkata, karnival itu akan dirasmikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas 1 Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.

Tambahnya, karnival itu mensasarkan sekitar 3,000 pengunjung bakal membanjiri program tersebut.

”Selain gerai jualan produk, pelbagai aktiviti lain bakal disediakan sepanjang karnival seperti pertandingan e-sport, sukan rakyat, gerai pameran, cabutan bertuah, persembahan kebudayaan dan sebagainya.

”Untuk e-sport, penganjur menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah RM6,000 bagi peserta Mobile Legends dan PUBG selain sebuah motosikal serta peralatan elektrik untuk cabutan bertuah,” jelasnya.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai karnival itu boleh menghubungi Urusetia Media, Shaffi Adam di talian 011-2326 6844 atau Farhan Ruslee 012-2425823 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

The post Karnival Anak Muda Sungai Petani sasar 3,000 pengunjung appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *