KOTA BHARU: Pas mahu Kerajaan Perpaduan mengambil langkah drastik dengan mengawal kemasukan pelancong China dalam usaha membendung berlakunya peningkatan Covid-19 di negara ini.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, langkah segera perlu diambil berikutan beberapa negara lain juga telah membuat keputusan untuk mengawal kemasukan pelancong dari China ke negara mereka.

“Jangan kita ulangi kesilapan lalu yang mana kita biarkan pelancong-pelancong terutama dari China masuk ke negara ini dengan bebas tanpa kawalan kerana akhirnya kita akan menanggung akibatnya.

“Saya minta pihak berwajib terutama Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mengambil berat perkara ini. Jika perlu, sekat atau kenakan syarat ketat terhadap pelancong China,” katanya selepas Majlis Amanat Khas Menteri Besar Kelantan 2023 dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, antara perkara yang boleh dilakukan adalah mewajibkan setiap pelancong China mempamerkan sijil vaksinasi sebelum memasuki negara ini.

Katanya, pihak berwajib juga tidak boleh semata-mata bergantung kepada pengambilan bacaan suhu badan sebaliknya, pelancong-pelancong yang ingin memasuki negara ini perlu menunjukkan bukti mereka sihat.

“Mungkin akan ada pihak mengatakan langkah ini akan menjejaskan pendapatan negara namun sekarang ini kita perlu mempertimbangkan mana lebih penting, pendapatan negara atau kesihatan dan keselamatan negara.

PKP

“Kita sudah lihat sepanjang dua tahun berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kononnya mahu menjaga aspek pelancongan namun akhirnya ekonomi negara kita terjejas dengan teruk,” ujarnya.

Mohd. Amar berkata, sebagai pembangkang Pas dan Perikatan Nasional (PN) telah membawa perkara tersebut di Parlimen menerusi Ketua Penerangannya Khairil Nizam Khirudin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh mendahului Kerajaan Persekutuan berkaitan tindakan-tindakan bersifat dasar termasuk dalam soal tindakan menangani Covid-19.

“Apa-apa tindakan bersifat dasar, kita perlu menunggu keputusan di peringkat Pusat. Ini termasuklah dalam aspek kawalan sempadan kerana ia melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Di peringkat kerajaan negeri, kita nasihat semua pihak termasuk orang ramai supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga. Jika perlu pakai pelitup muka, pakailah terutama di tempat-tempat tumpuan ramai,” katanya.- UTUSAN

 

The post Kawal kemasukan pelancong China ke Malaysia – Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *