SHAH ALAM: Sebanyak enam Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor, termasuk HSK Bukit Cerakah kini berada dalam keadaan bahaya.

Menurut wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Abdul Razak Ismail, antara HSK terlibat adalah HSK Kuala Langat Utara seluas 526 hektar, HSK Kuala Langat Selatan (283 hektar), HSK Bukit Lagong (886 hektar), HSK Hulu Selangor berhampiran Genting Highlands (162 ekar) dan HSK Sungai Panjang di Sabak Bernam (971 hektar).

“Semua HSK itu termasuk hutan paya gambut di Sabak Bernam telah diserahkan kepada syarikat pemaju untuk dimajukan dengan pelbagai aktiviti seperti pelancongan dan kuari.

“Peka dan beberapa NGO alam sekitar di Selangor telah berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan semua HSK ini, tetapi tidak membuahkan hasil kerana kerajaan negeri tidak melayan sebarang tuntutan kami,” dakwanya pada sidang akhbar bersama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Jalil di Seksyen 14 hari ini.

Abdul Razak berkata, bagi meneruskan perjuangan membela alam sekitar yang berharga, pihaknya berjumpa Hizatul Isham meminta beliau (kalau dilantik sebagai Ahli Parlimen Shah Alam pada Sabtu ini) untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, selain HSK Bukit Cerakah, lima lagi yang dibangkit dan diperjuangkan itu berada dalam keadaan yang sangat bahaya akibat sikap tidak peka dan tidak bertanggungjawab kerajaan negeri.

“Kita juga ada masalah di HSK Bukit Lagong. Yang ini lagi teruk. Ia melibatkan 2,190 hektar. Hutan ini dikatakan dibahagikan kepada beberapa syarikat konsesi untuk buka kuari,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, syarikat yang diberi konsesi itu sebenarnya tidak layak membuka kawasan hutan itu kerana ada syarikat bermodalkan RM2, RM3, RM25 dan RM100.

Selain itu jelasnya, kerajaan negeri juga menyediakan satu kawasan di HSK Hulu Selangor seluas kira-kira 400 ekar kononnya ada syarikat hendak memajukan projek pelancongan.

“Akhir sekali HSK Sungai Panjang seluas 2,400 ekar kononnya hendak dijadikan hab makanan Selangor. Semua ini memberi kesan kepada alam sekitar di Selangor kerana ia diberikan kepada syarikat yang tidak layak dan boleh mengundang bencana alam yang tidak terkawal,” katanya.

Beliau berharap, BN dapat mengambil alih kerajaan Selangor dan menyelamatkan enam HSK ini, termasuk memantau 76 hutan bersaiz kecil.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACFS), Dr. Lim Teck Wyn memberitahu, mereka sangat menyayangi hutan kerana menjadi tempat habibat dan perlindungan pelbagai jenis haiwan. – UTUSAN

The post Kawasan enam hutan simpan kekal terancam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *