GEORGE TOWN: Kawasan di sepanjang pesisir pantai awam berhampiran sebuah hotel terkenal di Batu Ferringhi di sini semakin hilang seri akibat hakisan pantai yang berlaku sejak tahun lalu.

Tambah memburukkan keadaan, beg-beg pasir yang ditempatkan di kawasan pantai itu sejak sebulan lalu sebagai penahan ombak telah runtuh baru-baru ini akibat dibadai ombak kuat.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, puluhan beg pasir yang diletakkan di situ merubah keadaan pantai yang sebelum ini menjadi tarikan pelancong menjadi kawasan yang hilang tarikan.

“Kita berpendapag beg-beg pasir yang runtuh ini merupakan projek yang merugikan duit rakyat kerana tidak dapat menjadi penahan ombak dalam tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui di pantai Batu Ferringhi, di sini hari ini.

Menurut Subbarow, beg pasir itu juga menjadikan pantai tersebut tidak lagi landai seperti sebelum ini dan pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan serta pelancong mengenai keadaan pantai itu.

“Kita bimbang beg pasir yang runtuh ini menunjukkan ia tidak kukuh untuk menahan ombak.

“Bayangkan sekiranya orang ramai atau kanak-kanak berada di atas beg-beg pasir ini dan kemudiannya runtuh sudah pasti akan membahayakan orang ramai,” katanya.

Tambah Subbarow, pihaknya meminta kerajaan negeri menilai semula projek berkenaan supaya tidak membazir wang dan kawasan pantai Batu Ferringhi yang diancam hakisan ombak dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, seorang operator sukan air di pantai berkenaan, Anuar Abd. Aziz, 50-an, berkata, timbunan beg pasir di kawasan berkenaan menyebabkan pantai itu tidak lagi popular dalam kalangan pelancong.

“Sebaik sahaja pelancong melihat keadaan pantai ini mereka tidak mahu bersantai di sini kerana pantainya yang tidak lagi landai.

“Beg-beg pasir yang diletakkan di sini juga tidak membantu menghalang hakisan, malah memburukkan pandangan di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan segera membaiki runtuhan beg-beg pasir di pesisir pantai berkenaan memandangkan dijangka ombak besar akan berlaku minggu depan. – UTUSAN

The post Kawasan pesisir pantai Batu Ferringhi hilang seri akibat hakisan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *