KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri mencadang untuk mewujudkan pusat sehenti bagi memudahkan penyiasatan kes forensik

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penubuhan pusat sehenti itu dilihat dapat mengumpul maklumat dan bahan diperlukan selain mempercepatkan siasatan kes. 

Katanya, ia juga perlu dibantu pegawai daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kimia serta agensi berkaitan. 

“Kalau ada satu kaedah dengan begitu baik, dengan pusat yang mencukupi.. saya yakin kita akan selesaikan dengan cepat contohnya yang bersalah boleh ke bawa ke mahkamah. 

“Selain penguatkuasaan, pusat sehenti ini juga dapat digunakan untuk masalah agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Perasmian Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang kali Ketiga (NASFLE) 2022 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan satu elaun khas diberikan kepada pegawai penyiasat forensik. 

Bagaimanapun, jumlah elaun itu memerlukan kajian terperinci terdahulu sebelum ke peringkat seterusnya.

“Kita faham kos sara hidup yang tinggi terutama pegawai yang muda dan berkeluarga. Satu siasatan memerlukan masa yang lama dan kadang-kadang jauh. Jadi, kita akan cadang elaun khusus ini. 

“Ini juga dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia supaya mengambil bidang forensik sains selain mempertingkatkan kerjasama luar negara dan di peringkat antarabangsa,” katanya.- UTUSAN

 

The post KDN cadang wujud pusat sehenti siasatan forensik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *