PILIHAN RAYA Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November nanti dikatakan sebagai ibu segala pilihan raya. Kenapa ianya dikatakan sedemikian? Adakah pilihan raya sebelum ini tidak penting bagi politik negara? Semua pilihan raya adalah penting, tetapi pilihan raya kali ini adalah sangat-sangat penting kerana ia satu persimpangan penting dalam politik Malaysia. 

Keputusan PRU15 ini akan dapat menunjukkan ke mana arah tuju politik negara selepas ini. Walaupun pada dasarnya politik/gabungan parti politik memaparkan manifesto yang ada persamaan iaitu memberi kebajikan kepada rakyat dan pengundi, tetapi ada terselit perbezaan antara parti politik itu. Pilihan raya kali ini berbeza dengan PRU14 yang mesejnya jelas iaitu melawan dan menjatuhkan BN/UMNO pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Sebahagian besar rakyat memberikan tumpuan ke arah itu. Musuh politik diketepikan buat semetara bagi melawan dan mencapai matlamat yang satu iaitu menjatuhkan  BN/UMNO pimpinan Najib. Rakyat mengenepikan masalah dalaman dan perbezaan-perbezaan yang ada. Perbezaan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diketepikan dengan satu matlamat bekerjasama membina kemenangan dan mengalahkan BN/UMNO pimpinan Najib.

PRU14 berjaya mengalahkan BN. Pimpinan Najib berjaya dijatuhkan. Apa yang berlaku kerajaan yang dibentuk dengan gabungan Bersatu, PKR, DAP dan beberapa parti lain  gagal mencapai hasrat rakyat umum yang diimpikan. Matlamat membina Malaysia baru tidak dapat dipenuhi. 

Manifesto dan apa yang dijanjikan kepada pengundi dan penyokong tidak dapat dipenuhi. Dikatakan pula “manifesto pilihan raya bukan kitab suci.” Rakyat tidak berpuas hati dan pergolakan dalaman dan juga luaran rakyat berlaku. Kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi tidak berjaya untuk dicapai. 

Hujung Februari 2020, tempoh 20 bulan lebih selepas kerajaan PH dibentuk, pergolakan berlaku dengan formula baru politik berlaku tanpa diduga. Kawan dan lawan bekerjasama semula. UMNO, Pas telah bekerjasama dengan Bersatu serta pecahan PKR dan juga parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin diperkenan Tuanku Yang di-Pertuan Agong menjadi Perdana Menteri (PM) yang baru. Covid-19 melanda negara dan seluruh dunia. Muhyiddin menghadapinya secara serentak: membina kestabilan politik dalam paduan baru, wabak Covid-19 yang ganas melanda serta pertelingkahan dalaman yang mula terus menggoncang. 

Akhirnya kerajaan pimpinan Muhyiddin tumbang lagi dan diganti dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kestabilan tidak berjaya dibina dengan penuh mantap. Dengan kemenangan besar BN/UMNO di dua Dewan Undangan Negeri (DUN), Melaka dan Johor desakan dalaman UMNO bagi mengadakan pilihan raya terus menongkah tanpa henti. Presiden UMNO tak henti-henti melantun cadangan PRU perlu disegerakan bagi kestabilan politik. 

Akhirnya, Ismail Sabri tunduk kepada desakan. Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober, walaupun banyak pihak tidak bersetuju dengan alasan masa kurang sesuai kerana risiko besar cuaca buruk musim tengkujuh November hingga Mac. Risiko dikorban demi sebuah kestabilan baru politik negara.

Apakah mungkin kestabilan akan terbentuk selepas 19 November ini? Seramai lebih 20 juta pengundi akan menentukan keputusan. Tidak ada siapapun yang dapat meramalkan dengan tepat parti politik mana yang bakal menerajui negara. 

Keputusan DUN Melaka dan Johor tidak dapat dijadikan panduan asas. Kemenangan  besar BN/UMNO dalam dua DUN itu sukar berlaku di peringkat pusat; alasan mudah dalam PRN Melaka dan Johor peratus keluar mengundinya sangat kecil; iaitu banyak kawasan dengan peratus yang kurang daripada 55%. 

Pengundi muda 18 dan awal 20-an ramai tidak terlibat. Keputusan di Melaka dan Johor dikatakan ditentukan oleh pengundi berusia yang tegar sokongannya kepada UMNO. Adakah keadaan ini terus berlaku dlm PRU15 pada 19 November ini?

Ramai penganalisis melihat bahawa pengundi muda 18-39 tahun yang mewakili 50% pengundi akan melibatkan diri pada 19 November ini. Cuti umum yang diumumkan pada 18 dan 19 November serta tol percuma lebuh raya memberikan  ruang mengundi yang lebih baik. PRN Melaka dan Johor juga dikatakan tarikh yang tidak memungkinkan pegundi dari luar kawasan (seperti yang bekerja di Lembah Kelang) untuk pulang membuang undi di Melaka dan Johor. 

Pengundi muda ini dilihat salah satu faktor penting kepada pola keputusan pada 19 November ini. Pengundi muda yang lebih bebas dan terbuka. Tidak terikat dengan mana-mana falsafah politik yang rigid dan lebih mudah menerima perubahan. Sejarah BN/UMNO tidak begitu kuat mendasari keputusan politik mereka. 

BUDI

Hatta, pengundi Melayu pun tidak mempunyai perasaan  dan nilai sentimental seperti golongan 50-an dan 60-an yang mempunyai kesan besar politik UMNO. Hak keistimewaan Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dirasai oleh golongan 50-an dan 60-an, tetapi tidak oleh golongan muda 20-an. 

Rasa terhutang budi kepada UMNO secara relatifnya kurang. Golongan muda tidak lagi mendapat biasiswa (tetapi PTPTN) yang terpaksa dibayar balik walaupun pemberian biasiswa adalah salah satu hak yang termaktub kepada Melayu dan bumiputera dalam Perkara 153. 

Golongan 50-an dan 60-an pula ramai yang tidak memberikan sokongan sepenuhnya kepada UMNO kerana hal-hal berkaitan rasuah dan salah guna kuasa pimpinan utama UMNO. Rumusan mudah adalah penyokong tegar UMNO tidak lagi seperti dalam dalam tahun-tahun sebelum 2010, walaupun ada yang membenci UMNO, tetapi sebelum tahun 2010 sokongan kuat masih diberikan kepada BN/UMNO. 

Perubahan ini mungkin akan membawa kesan besar kepada BN/UMNO dan lebih membuka peluang kepada parti-parti politik Melayu yang lain. Tawaran dan pimpinan parti politik selain BN/UMNO juga sebenarnya adalah berasal daripada wadah pimpinan yang ama iaitu BN/UMNO. PN, GTA dan PH dipimpin oleh tokoh yang pernah menerajui BN/UMNO. 

Muhyiddin pimpinan utama PN adalah bekas PM dan juga Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kerajaan BN/UMNO. Begitu juga dengan pimpinan GTA iaitu Dr. Mahathir ialah tokoh yang tak asing dalam politik Malaysia yang menjadi PM dalam BN dan juga dalam kerajaan PH selepas PRU14. 

Anwar yang memimpin PH ialah TPM dalam kerajaan BN/UMNO dan juga Timbalan Presiden UMNO. Semua pimpinan ini sama ada PN, PH dan GTA adalah tokoh yang tidak asing serta tidak dinafikan kebolehan masing-masing.

Anwar, pemimpin utama PH adalah seorang yang tak dinafikan kebolehannya. Pengalamannya sebagai TPM dan juga Menteri Kewangan telah menunjukkan satu kebolehan yang cemerlang. Sifat dan kebolehannya untuk menjadi seorang PM boleh diterima, tetapi gabungannya dengan DAP sebagai rakan utama telah menimbulkan rasa tidak senang oleh bukan kecil jumlahnya daripada orang Melayu. 

Orang Melayu umumnya masih tidak yakin dengan falsafah politik DAP. Andainya PH berjaya membentuk kerajaan pusat, mampukah Anwar menolak desakan dan permintaan DAP? Bilangan anggota DAP dalam kerajaan PH akan menentukan kekuatan dan dasar Anwar Ibrahim. 

Kalau anggota PKR dan Amanah mempunyai jumlah yang cukup besar, pastinya kerajaan PH akan lebih mudah menjalankan dasar-dasar pro Melayu dan bersifat Melayu. Mampukan PH mendapat kemenangan besar pengundi Melayu dalam situasi pengundi Melayu masih ramai yang masih sangsi dengan DAP. Mampukah DAP meyakinkan pengundi Melayu yang ia bukan parti proetnik Cina? 

PN pimpinan Muhyiddin adalah sebuah parti yang bersifat dominan Melayu dengan Pas dan Bersatu sebagai parti Melayu utama di dalamnya. Mampukan Pas meningkatkan jumlah anggota Parlimen khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dimenanginya sebelum ini. 

Adakah tindakan dan keputusan Pas sebagai anggota kerajaan selepas 1 Mac 2020 disenangi oleh penyokongnya? Atau penyokong Pas telah menyamakan perjuangan Pas dengan parti-parti politik Melayu lain yang lebih bersifat umum dan tidak berteraskan Islam sepenuhnya? Dimana hukum hudud yang diperjuangkan Pas ketika berada dalam kerajaan sejak 1 Mac 2020. Sejauh manakah pula keyakinan pengundi Melayu UMNO sebelum ini kepada Bersatu? 

Akan berlakukah perubahan pola di Kawasan majoriti Melayu, khusunya di pantai Barat Semenanjung daripada UMNO kepada Bersatu? Adakah berlaku sokingan besar pengundi muda (18-39 tahun) kepada Bersatu?

Sejarah kemenangan BN/UMNO dalam politik negara tidak dipertikaikan. Sumbangannya cukup besar kepada negara. Persoalannya sejak akhir-akhir ini ramai yang mula mencurigakan tentang arah dan integrasi dalam UMNO. Sebagai parti utama dalam BN, kemenangan UMNO akan mempastikan BN kuat. 

Senario sejak PRU13 parti etnik Cina dalam BN gagal mendapat kemenangan besar (sebahagian besarnya dikalahkan oleh DAP). Calon MCA yang menang adalah daripada Kawasan yang besar peratus pengundi Melayu.  

Salah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah mempengaruhi sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO. Mampukah UMNO mengembalikan kepercayaan semula orang-orang Melayu dan menyekat daripada penyokong tegar UMNO memberi sokongan kepada parti Melayu baru yang lain? Kalau berjaya menarik semula sokongan BN/UMNO akan kembali kuat dan menang besar!

PRU15 adalah ibu pilihan raya dan penentu politik selepas 19 November. Keputusan terletak di tangan hati pengundi. Darjah rasional yang luas, daya fikir tinggi pengundi, serta teknologi komunikasi baharu yang canggih diharap membina keputusan tepat pengundi. Semoga menjelang pagi 20 November, politik Malaysia yang mantap berjaya mampu dibentuk. Moga kesejahteraan dan kemakmuran berteraskan prinsip adil dan suci akan mendasari politik dan pentadbiran negara kita. – UTUSAN ONLINE    

DR. Mohd. Noor Yazid ialah Ahli Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN), juga penuntut sarjana Undang-Undang (LLM in International Law), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

The post Ke mana arah politik Malaysia selepas 19 November? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *