KUALA LUMPUR: Permohonan dua pemilik kelab komedi Crackhouse bagi mendapat kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan larangan kekal terhadap mereka daripada mendaftar sebarang perniagaan di ibu negara, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Mei ini.

Permohonan Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R. Santhiram dijadual didengar di hadapan Hakim Datuk Amerjeet Singh.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili pihak kerajaan mengesahkan tarikh berkenaan selepas sesi pengurusan kes hari ini. Pemilik kelab komedi itu diwakili oleh peguam Harshaan Zamani.

Dua pemilik kelab komedi itu menggunakan proses undang-undang bagi mencabar keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen perniagaan premis itu dan tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di ibu kota untuk selama-lamanya.

Mereka memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden pertama hingga kelima.

Permohonan itu difailkan pada 24 November 2022 bagi memohon deklarasi bahawa keputusan DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut bertentangan dengan undang-undang.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa keputusan Jalaluddin dan Kementerian Wilayah Persekutuan melarang mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di ibu negara buat selama-lamanya walaupun di bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan.

Selain itu, mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan itu atas alasan pemohon mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk berniaga dengan lesen sah di Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemohon menerusi afidavit sokongan berkata, pada 17 Ogos 2022, Jalaluddin membuat kenyataan bahawa Jawatankuasa Perlesenan DBKL bermesyuarat dan memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut berkuat kuasa 30 Julai 2022.

Pemilik-pemilik kelab komedi itu turut disenaraihitamkan untuk mendaftar lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selamanya.

Dakwa mereka, keputusan dibuat oleh responden-responden menjejaskan kedudukan serta kepentingan pemohon-pemohon secara teruk sebagai pemilik kelab komedi tersebut dan sebagai usahawan.

Mereka turut mendakwa tidak pernah menerima sebarang notis atau surat rasmi daripada pihak DBKL berhubung keputusan berkenaan. – UTUSAN

The post Kebenaran semakan kehakiman pemilik Crackhouse didengar 23 Mei appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *