PETALING JAYA: Menerima bertubi-tubi kecaman dek penampilannya yang dikatakan tidak sesuai usia, pelakon muda, Qistina Raisah tidak pernah mengambil hati apabila menerima komen negatif.

Jelasnya, dia sudah bersedia dari segi mental untuk berdepan dengan sebarang kecaman dan kritikan yang kadang kala sengaja dicipta untuk menjatuhkan semangatnya dalam industri seni.

“Emak saya dah ajar, macam mana bagus atau baik pun kita pasti akan ada yang tidak berpuas hati. Lebih baik saya tidak membaca komen-komen sebegitu.

“Saya tahu, sebagai artis, ini adalah jalan yang saya perlu lalui. Privasi itu sukar sekali dicapai. Cuma, kalau boleh janganlah melampau dan keterlaluan. Ada yang kecam ibu bapa dan keluarga.

“Ibu saya adalah pengkritik tegar. Sebelum memuat naik sebarang gambar atau video, saya perlu mendapatkan kebenaran dia. Jadi, tidak perlu kecam lebih-lebih,” kata pelakon berusia 14 tahun ini.

Qistina sebelum ini, dikecam gara-gara penampilan yang semakin seksi untuk gadis pada usianya, malah pernah dikaitkan dengan penyebaran sebuah video memaparkan seorang gadis dikatakan miripnya memeluk lelaki di tempat umum.

Dalam pada itu, Qistina berkata, susulan kontroversi tersebut, dia ‘kehilangan’ ramai kawan-kawan yang turut menyertai segelintir warganet melontarkan kecaman keterlaluan.

“Apabila terjadi isu tersebut, kawan jadi lawan. Masing-masing tunjuk perangai dan kecam serta fitnah saya. Itu lebih menyedihkan, pada masa sama menjadi pengajaran untuk saya.

“Tidak semua yang nampak baik, manis depan kita akan ada apabila kita berdepan masalah. Kadang kala, mereka yang terlebih dahulu menabur fitnah dengan alasan kami kenal rapat,” katanya.

The post Kecamlah, cuma jangan melampau – Qistina Raisah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *