LONDON: Kebimbangan menyelubungi bintang Korea Selatan, Son Heung-min kurang tiga minggu menjelang Piala Dunia selepas dikeluarkan ketika Tottenham menum­paskan Marseille 2-1 semalam, sekali gus mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 30 tahun itu hanya beraksi selama 24 minit di selatan Perancis selepas mengalami kecederaan kepala akibat berlaga dengan bek tengah tuan rumah, Chancel Mbemba ketika berebut bola.

Heung-min mengambil masa empat minit sebelum berjalan ke terowong dan diganti oleh pemain antarabangsa Mali, Yves Bissouma yang menyaksikan Tottenham menukar sistem dari 3-4-1-2 kepada 3-5-2.

Ketika Piala Dunia akan membuka tirai di Qatar pada 20 November ini, situasi Heung-min tamparan hebat buat Korea Selatan yang meletakkan sasaran suku akhir.

Diundi dalam kumpulan sukar bersama Portugal, Ghana dan Uruguay, Korea Selatan amat menagih pengalaman bintang penyerang Tottenham itu bagi memenuhi sasaran.

Ketika ditanya mengenai kecederaan Heung-min, pembantu jurulatih Tottenham, Cristian Stellini berkata, mereka belum pasti seserius mana keadaan pemain itu.

“Kami perlu menunggu penilaian perubatan, dan kami perlu menunggu sehingga esok untuk mengetahui situasi sebenar.

“Sonny (Heung-min) berasa lebih baik sekarang. Saya melihat dia dalam bilik persalinan dan meraikan kemenangan bersama pasukan.

“Apa pun, kita kena tunggu sehingga esok,” kata Stellini. ­– AGENSI

The post Kecederaan Son resahkan Korea Selatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *