ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Kedah menutup sementara semua Taman Eko-Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) sepanjang musim tengkujuh berkuat kuasa semalam.

Antara lokasi yang ditutup adalah TER Bukit Wang; Puncak Janing; Sungai Teroi; Lata Mengkuang; Sungai Rambai; Tupah; Bukit Hijau; Lata Bayu; Ulu Paip, dan Taman Negeri Ulu Muda.

Pengarah Perhutanan, Muhamad Abdullah berkata, penutupan itu bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini di kawasan berkenaan yang boleh mengancam nyawa pengunjung.

“Kita mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Meteorologi negeri yang menjangkakan jumlah taburan hujan tinggi berikutan musim tengkujuh pada pertengahan Oktober sehingga akhir Januari terutamanya di bahagian utara Semenanjung.

“Aktiviti rekreasi yang tidak dibenarkan termasuk pendakian gunung, aktiviti sukan lasak berkenderaan dan lain-lain jenis aktiviti riadah. 

“Penutupan sementara bagi mengelak sebarang kemalangan disebabkan kejadian bencana atau kemalangan seperti pokok tumbang, tanah runtuh, kejadian lemas, fenomena kepala air dan sebagainya yang mengancam nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhamad, bagi kawasan pendakian yang ditutup sementara adalah Gunung Jerai; Gunung Kemerlong; Bukit Perak; Bukit Enggang; Bukit Saiong; Gunung Bintang; Bukit Besar Kulim dan Bukit Batu Merah.

“Turut ditutup adalah Bukit Fakir Terbang, Bukit Air Terjun Lebai Husin, Bukit Kilim, Gunung Matchinchang, Bukit Selat Panchor, Gunung Raya (Tangga Helang Seribu) dan Bukit Batu Licin di Pulau Tuba),” katanya.

Jelasnya, penutupan sementara itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada TER yang diswastakan kepada operator seperti di Pasir Tengkorak; Telaga Tujuh: Air Terjun Temurun; Tasik Dayang Bunting; Gua Cherita; Seri Perigi; Batu Hampar; Perangin Sik; Titi Hayun dan Sungai Sedim. 

“Namun, dinasihatkan juga supaya pihak syarikat atau operator memberhentikan pengoperasian mereka buat sementara waktu,” katanya.

Beliau pada masa sama menasihatkan agar orang ramai tidak mengunjungi lokasi berkenaan untuk menjalankan aktiviti riadah terutama pada cuti Deepavali ini. –UTUSAN

 

The post Kedah tutup sementara semua hutan lipur  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *