PETALING JAYA: “Semua orang ada impian dan keinginan. Semua orang akan berusaha untuk capai impiannya. Itu salah satu impian saya.”

Demikian jawapan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila ditanya kesahihan pembelian rumah di Dubai, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Siti menafikan harga kediaman tersebut mencecah RM60juta seperti yang tersebar di media sosial.

“Harga berpuluh-puluh juta ringgit yang digembar gemburkan itu melebih-lebih. Apapun, saya ambil itu sebagai perkara positif supaya dapat merealisasikan impian sendiri.

“Harganya tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Saya belum mampu lagi untuk capai tahap itu. Itu melampau-lampau,” katanya.

Penyanyi Balqis itu ditemui ketika majlis sambutan ulang tahun kelab peminatnya di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Tambah penyanyi Jerat Percintaan itu, pemilihan Dubai dianggap strategik dalam usahanya mengembangkan perniagaan menembusi pasaran Asia Barat.

“Asia Barat adalah salah satu pasaran yang pesat untuk saya cari peluang di sana. Saya pilih kerana suka Dubai.

“Berkemungkinan satu hari nanti kerjaya saya akan berkembang di sana. Ia juga salah satu negara Islam yang maju.

“Segala yang terbaik ada di sana, selain saya suka dengan kepesatan dan pembangunan di Dubai,” katanya.

Sebelum itu, anak tiri penyanyi kesayangan negara itu, Asyraf Khalid memuat naik ucapan tahniah kerana berjaya membeli rumah di Dubai.

The post Kediaman mewah Dubai, itu impian saya – Siti Nurhaliza appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *