ALOR SETAR: Orang ramai yang melalui Jalan Anak Bukit, Pantai Johor di sini dikejutkan dengan cat berwarna merah dan biru yang dilempar ke pagar kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. 

Tinjauan Utusan Malaysia di Seri Mentaloon mendapati, cat itu kebanyakannya mengenai sebahagian tembok kediaman tersebut.

Selain itu, cat berkenaan turut kelihatan di pintu pagar yang baru ditukar, pokok hiasan di belakang pagar serta lampu limpah yang menghala ke papan tanda berkenaan. 

Malah, tinjauan lanjut di lokasi itu turut menemukan plastik berisi cat merah. 

Setakat ini, belum dapat dipastikan siapa dalang di sebalik kejadian itu dengan pihak polis masih berada di lokasi bagi menjalankan siasatan. 

Para pegawai Menteri Besar yang dihubungi juga masing-masing belum dapat mengulas lanjut kerana mereka difahamkan turut baru sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu. 

Muhammad Sanusi ketika ini pula difahamkan berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri. –UTUSAN

The post Kediaman rasmi Menteri Besar Kedah disimbah cat merah biru appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *