MANCHESTER: Sebuah rumah kediaman dua tingkat runtuh selepas dirempuh sebuah kereta di Greater Manchester malam tadi.

Gambar di lokasi kejadian yang tular di media sosial menunjukkan perabot dan batu bata bertimbun di atas kereta BMW Gran Coupé dengan lampu breknya masih menyala.

Pasukan polis dan ambulans bergegas ke lokasi nahas, di kawasan perumahan Canterbury Street dan Cowhill Lane di Ashton-under-Lyne, berhampiran Oldham.

Jurucakap Polis Greater Manchester berkata, wanita yang memandu kenderaan itu ditahan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan telah dibawa ke balai polis berhampiran untuk disoal siasat.

Penghuni rumah berkenaan, Alan Fish terselamat selepas beredar dari garajnya sejurus sebelum perlanggaran.

“Saya berada di kedai hanya lima minit sebelum itu. Saya pulang ke rumah untuk masuk ke garaj saya dan tiba-tiba mendengar dentuman yang kuat ini,” kata Fish.

Anggota bomba dikerahkan untuk berkawal di tempat kejadian bagi memastikan keselamatan di kawasan tersebut.-AGENSI

The post Kediaman runtuh dirempuh BMW appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *