SEPANG: Kegagalan padel klac yang kemudian mencetuskan api dikesan menjadi punca kebakaran membabitkan sebuah bas persiaran lorong tol di Plaza Tol Universiti Putra Malaysia (UPM), awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 6.13 pagi itu, seramai 44 penumpang bas berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka terbakar ketika melalui plaza tol berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua penumpang termasuk pemandu bas sempat menyelamatkan diri.

Beliau berkata, pemandu bas berusia 41 tahun itu memaklumkan dia cuba menekal padel klac pada jarak 50 meter sebelum plaza tol tetapi keras sebelum bas tiba-tiba berhenti dengan sendiri.

“Pemandu itu juga memaklumkan, dia terdengar jeritan ‘api’ seorang penumpang sebelum melihat melalui cermin sisi kiri dan mendapati api sedang marak di bahagian belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, bas berkenaan dalam perjalanan dari Skudai Johor ke Kuala Lumpur yang membawa 20 pelancong dari Indonesia dan selebihnya pelancong Singapura dan rakyat tempatan.

Wan Kamarul Azran berkata, pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) cuba memadamkan kebakaran bas dengan enam alat pemadam api, namun tidak berjaya.

Menurutnya, api kemudian berjaya dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang.

“Bas berkenaan terbakar sepenuhnya, malah bumbung Plaza Tol UPM juga terbakar. Bas itu juga sudah dialihkan ke lokasi selamat.

Sebelum ini, PLUS memutuskan untuk menutup sementara laluan keluar di persimpangan bertingkat Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi kerja-kerja pemeriksaan lanjut struktur plaza tol berkenaan.

Pengguna dari arah utara (Sungai Besi/Kuala Lumpur) yang ingin keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan di persimpangan UPM dinasihatkan supaya berbuat demikian di Persimpangan Bertingkat Kajang.

Manakala, pengguna dari Bangi, Nilai atau Selatan dinasihatkan dari lebuh raya menerusi Persimpangan Bertingkat Kajang atau Sungai Besi sebelum menggunakan laluan alternatif. – UTUSAN

The post Kegagalan klac punca bas terbakar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *