KUALA LUMPUR: Pernah melalui detik hitam sehingga mengalami tekanan dalam hidup, penyanyi Indonesia, Cakra Khan kini meletakkan keutamaan terhadap keluarga mengatasi segala-galanya.

Penyanyi lagu Harus Terpisah ini juga enggan mengulangi kesilapan lampau yang pernah membuatnya dibelenggu duka apabila kehilangan insan tersayang dalam hidup.

Penyanyi yang berasal dari Jawa Barat berusia 30 tahun itu berkata, dia kini sudah matang membezakan antara keutamaan dan tanggungjawab terhadap keluarga.

“Saya pernah berada pada titik terendah dalam hidup apabila kehilangan ayah dan kawan baik. Banyak kejadian benar-benar tidak diduga berlaku. Jadi, untuk  mengatasi rasa kehilangan itu, saya  kembali mengutamakan keluarga dan ibu.

“Alhamdulillah, konsert ini juga adalah penghargaan untuk arwah ayah. Sehingga sekarang, saya masih terkenang saat ayah tidak sedarkan diri ketika berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Dulu, setiap kali acara nyanyian, ayah selalu menghantar dan syukur dia sempat melihat kejayaan saya sebagai penyanyi,” katanya ketika sidang akhbar Konsert Cakra Khan A Decade Live In Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Cakra bagaimanapun, tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi ketika berdepan detik hitam tersebut.

“Contoh mudah, kalau ibu menghubungi ketika sedang bekerja, saya akan tangguhkan dahulu pekerjaan dan menjawab panggilan penting itu,” katanya.

Ditebak soal jodoh, Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman meletakkan kebergantungan kepada ketentuan Allah SWT dalam urusan itu.

Katanya, dia tidak mahu terburu-buru memikirkan soal tersebut kerana sekarang adalah masa untuk fokus membina kerjaya.

“Jodoh di tangan Allah SWT dan masih dalam aturan-Nya. Ini bukan soal saya memilih, tetapi mahu fokus dengan komitmen kerjaya dan muzik terlebih dahulu,” katanya.

The post Kehilangan ayah ubah hidup Cakra Khan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *