PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini diminta supaya tidak mempercayai dakwaan karut segelintir pihak berhubung fenomena gerhana bulan penuh ‘berdarah’ yang terjadi semalam.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata, kejadian alamiah itu tiada kaitan sebarang petanda celaka.

“Apa-apa sahaja fenomena nadir berlaku di langit tiada kena-mengena dengan peristiwa sial tertentu di bumi,” tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Panel Falak Wilayah Persekutuan.

Sejak semalam, ada kalangan warganet tidak bertanggungjawab membuat cerita konon kejadian gerhana bulan penuh kali ini bakal membawakan petanda sial dalam isu politik tanah air.

Mereka merujuk apa yang pernah berlaku pada 26 Disember 2019 ketika peristiwa gerhana matahari menyaksikan Pakatan Harapan tumbang tanpa dijangka pada 24 Februari 2020 lalu.

Malahan, kejadian gerhana bulan penuh ‘berdarah’ pada 26 Mei 2021 kemudian diikuti pula dengan Perikatan Nasional cuma berkuasa 17 bulan apabila kecundang pada 16 Ogos 2021.

Sementara itu, fenomena gerhana bulan total pada 16 Mei lalu yang tidak dapat disaksikan di Malaysia memperlihatkan banyak peristiwa kematian drastik beberapa tokoh terkenal dunia.

Antaranya, kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada 8 Julai lepas selain kemangkatan pemerintah Britain paling lama, Ratu Elizabeth II pada 8 September lalu.

Tidak ketinggalan ialah berita pemergian secara mengejut ulama tersohor dunia Islam, Syeikh Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradawi di Doha, Qatar pada 26 September lalu dalam usia 96 tahun.

 Mengulas lanjut, Mohamad berkata, isu mengenai kaitan antara gerhana dan peristiwa tidak baik itu sudah diperjelaskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri sebelum ini.

“Saya sendiri merujuk kitab Mastika Hadis Rasulullah SAW Jilid 2 terbitan agensi itu yang ada memperkatakan berhubung kejadian gerhana sebagai panduan untuk umat Islam,” katanya.

Jakim memperincikan fenomena tersebut yang pernah mencetuskan kekecohan pada zaman Nabi Muhammad SAW susulan kematian puteranya, Ibrahim ketika berlaku gerhana matahari.

Semalam, gerhana bulan total dapat disaksikan jelas di seluruh Malaysia bermula pukul 6.54 petang ketika bulan terbit dari bahagian ufuk dan kemudiannya berakhir pada 8.49 malam turut boleh disaksikan penduduk di rantau tenggara Eropah, benua Asia, Australia, Amerika, Lautan Pasifik, Lautan Hindi, Lautan Atlantik, Antartika dan Artik. – UTUSAN

The post Kejadian gerhana ‘berdarah’ tiada kaitan peristiwa sial tertentu   appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *