“ALLAH SWT menurunkan al-Quran, menjadikan haknya untuk dibaca dan diamalkan oleh umat Islam. Fahamilah! Seluruh keberkatan dalam hidup adalah daripada cahaya al-Quran ini. Baca dan amal, sebelum terlambat.
Demikian amanat ulama terkemuka Kedah, Abdullah Lebai Samah yang juga pengasas Madrasah Takwiyatul Islamiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Bukit Lada Pokok Sena di Kedah.
Abdullah, 86, memberitahu, al-Quran yang adalah kitab terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu juga mukjizat daripada Allah SWT yang menjadi bukan sahaja petunjuk malah cahaya dalam kehidupan umat Islam.
“Nak berkat dalam hidup baca dan amallah al-Quran,” jelas Abdullah yang dianugerahkan tokoh Maulidur Rasul Kedah baru-baru ini sebagai menghargai jasa dan bakti beliau dalam dakwah Islam di negeri ini selama hampir lima dekad.
Kata Abdullah, pelbagai syafaat yang diperoleh oleh mereka yang membaca dan mengamalkan al-Quran selain diangkat martabatnya di sisi Allah SWT malah doa selepas membacanya sangat mustajab.
“Keberkatan baca al-Quran itu banyak, jadi ambil masa bacalah walaupun lima atau 10 minit setiap kali selepas solat. Sekurang-kurangnya 100 perkataan sehari. Istiqamah setiap hari dan khatamlah seberapa banyak.
“Kalau kita boleh menghadap telefon berjam-jam sehari apa salahnya curi masa itu untuk membaca al-Quran. Tuhan sudah janjikan keberkatannya. Doa selepas membaca al-Quran itu sangat mustajab,” katanya ketika ditemui di madrasah berkenaan baru-baru ini.
Rahsia di sebalik al-Quran itu, kata beliau yang juga lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah, ia mengandungi petunjuk dan ganjaran pahala yang sangat besar untuk mereka yang mengamal dan membacanya.
“Tiada akan ada kesakitan, kesusahan dan kesempitan hidup berkat baca al-Quran. Insya-Allah semua kesulitan hidup ini akan dipermudahkan Pencipta kita.
“Daripada bersembang lama-lama menggunakan telefon, bersembanglah lama-lama dengan Allah SWT dengan membaca al-Quran dan Dia akan membalas hikmah-Nya dengan memberi semua keberkatan hidup dan menunaikan apa sahaja doa-doa kita,” terangnya.
Abdullah yang masih sihat tanpa sebarang penyakit termasuk mempunyai tahap penglihatan yang baik memberitahu, beliau sendiri sering kali diuji dengan pelbagai kesulitan dalam hidup namun mampu menyelesaikannya dengan mudah.
“Saya pernah terkandas sebulan di Kuala Lumpur sewaktu nak ke Mekah sebab visa. Sepanjang itu tidak banyak yang mampu saya lakukan kerana urusan itu bergantung kepada prosedur tertentu. Sepanjang terkandas itu, apa yang saya mampu lakukan adalah beramal ibadat baca al-Quran dan doa. Alhamdulillah, hajat ke Mekah sampai juga.
“Tiada manusia yang tidak akan diuji walaupun kadang-kala kita rasa dekat dengan Allah SWT namun kitalah orang yang paling diuji untuk lihat tahap keimanan dan kesabaran,” jelasnya yang pernah berkelana selama 10 tahun di Mekah pada tahun 60-an.
Surah dalam al-Quran mempunyai banyak manfaat seperti Surah Al Waqiah yang dinasihatkan oleh Abdullah supaya mengamalkan bacaannya setiap hari kerana ia berkaitan dengan rezeki.
“Insya-Allah tidak akan papa orang yang rajin membaca ayat ini. Walaupun tak kaya harta, namun hati dia tak miskin. Surah ini yang membantu saya ketika duduk di Mekah selama 10 tahun. Walaupun tidak ada wang ketika itu namun rezeki sentiasa ada kerana masih boleh hidup, boleh makan dan minum,” pesannya.
Beliau pada masa sama melahirkan kebimbangan dengan situasi pendidikan agama generasi muda hari ini yang disifatkan sangat lemah terutama ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu membaca al-Quran.
“Budak-budak zaman sekarang bukan macam dahulu. Dahulu ibu bapa suruh pergi mengaji setiap hari. Itu satu kemestian. Balik sekolah mesti kena pergi mengaji dekat guru al-Quran,” kata bapa kepada 14 anak ini.
“Kena hantar mereka mengaji al-Quran juga dan belajar agama. Itu sahaja yang mampu menyelamatkan mereka daripada kemaksiatan dan kejahatan yang banyak berlaku sekarang,” kata Pengerusi Majlis Guru Pondok Negeri Kedah ini. – Mingguan Malaysia

The post Kejarlah keberkatan membaca al-Quran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *