LONDON: Pelumba Red Bull, Max Verstappen berisiko hilang kejua­raan Formula Satu (F1) yang dimenangi tahun lalu selepas pasukannya disahkan melanggar peraturan had perbelanjaan 2021.

Verstappen memenangi kejuaraan pemandu pada perlumbaan terakhir di Abu Dhabi selepas mengetepikan Lewis Hamilton secara kontroversi.

Pemandu Belanda itu menamatkan musim hanya lapan mata di hadapan Hamilton, yang terlepas gelaran dunia kelapan.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) tidak mendedahkan jumlah lebihan perbelanjaan yang digunakan Red Bull mahupun hukuman mungkin dikenakan.

Seandainya pemotongan mata dikenakan terhadap Red Bull, bermakna Verstappen akan hilang gelaran 2021.

Pelanggaran itu membawa kepada pelbagai kemungkinan sekatan.

MAX Verstappen (tengah) memenangi kejuaraan dunia 2022.

“Kami melihat penemuan FIA tentang ‘pelanggaran kecil perbelanjaan berlebihan terhadap peraturan kewangan’ sebagai sesuatu yang mengejutkan dan mengecewakan.

“Kami menye­rahkan bajet 2021 di bawah had kos, jadi kami perlu ­me­nyemak dengan teliti pe­nemuan FIA ke­rana kami kekal bahawa kos yang digunakan mengikut peraturan,” kata Red Bull dalam satu kenyataan semalam.

Pasukan itu bagaimanapun berkata, mereka menghormati keputusan FIA dan mempertimbangkan segala pilihan yang ada.

Pada Grand Prix Jepun di Litar Suzuka ­minggu lalu, Ha­milton membangkitkan isu pelanggaran had bajet yang dilakukan Red Bull musim lalu.

“Saya masih ingat tahun lalu di Silverstone, pasukan kami telah menaik taraf kereta buat kali ter­akhir dan mujurlah ia sangat hebat sehinggakan kami boleh bertarung ­dengan baik.

LEWIS HAMILTON

“Begitupun kemudian, kami melihat Red Bull pada setiap hujung minggu atau setiap ­hujung minggu yang lainnya melakukan ­peningkatan.

“Saya fikir, sekurang-kurang­nya empat peningkatan telah mereka lakukannya sejak itu.

“Jika kami membelanjakan 300,000 pound (RM1.3 juta) untuk menukar lantai baharu, atau menyesuaikan sayap, ia akan mengubah keputusan kejuaraan secara semula jadi.

“Sudah tentu kami akan ­berada dalam persaingan yang lebih baik pada perlumbaan seterusnya, jadi, saya harap perkara itu tidak berlaku.

“Saya percaya Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem dan FIA akan melakukan apa yang betul dengan apa sahaja mereka perolehi daripada laporan tersebut,” kata pemandu Britain itu dalam sidang akhbar.

Sementara itu, FIA dalam satu kenyataan semalam berkata, mereka ‘sedang menentukan tindakan yang sesuai’ untuk dikenakan ­terhadap Red Bull. – AGENSI

The post Kejuaraan dunia 2021 Verstappten dalam bahaya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *