BANDAR SERI BEGAWAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran paling besar dan menjadi keutamaan dalam konsep Malaysia Madani yang menjadi teras pentadbirannya adalah pembangunan ekonomi tanpa mengetepikan soal akidah dan akhlak.

Perdana Menteri berkata, ekonomi adalah asas dalam apa juga perkara yang hendak dicapai di bawah konsep itu sama ada untuk membela nasib orang miskin, hendak membangunkan sekolah yang lebih baik atau meningkatkan pendapatan rakyat.

“Dalam hal ini, perniagaan mesti maju, kita kena teroka bidang baharu dan mesti ada nilai serta ihsan. Saya rumuskan idea baharu dan cerakinkan supaya rakyat faham untuk memastikan pelaksanaannya kelak lebih lancar,” katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam bersama lebih 400 rakyat Malaysia di Brunei, malam ini sempena lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei.

Majlis yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Anwar yakin rakyat Malaysia akan terus menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi negara termasuk dalam kalangan mereka yang bermastautin dan mencari rezeki di negara lain.

“Saya ingin memulakan tradisi baharu. Slogan sahaja tidak meyakinkan kerana apa yang lebih utama ialah memaknai konsep itu dengan penghayatan dan amalan.

“Kebenaran, keadilan, perpaduan, kemanusiaan, ihsan dan rahmah itu konsep yang memukau tetapi ujian sebenar ialah pelaksanaannya.

“Negara dan tamadun boleh terangkat dengan idealisme dan disiplin, namun ia juga boleh runtuh dengan kesenjangan dan rasuah,” katanya.

Sementara itu, ditanya yang menjadi kekuatan beliau menempuhi 40 tahun perjuangannya dalam politik sebelum berada di kedudukan sekarang, Perdana Menteri berkata, paling utama ialah tidak menyimpan dendam terhadap apa yang berlaku.

Katanya, pendedahan di pelbagai peringkat antarabangsa sewaktu berada dalam kerajaan satu waktu dahulu turut memberikan kelebihan kepadanya dan menjadi panduan dalam memperkenal pembaharuan ketika ini.

“Kita nak bawa perubahan, ubah pemikiran masyarakat. Kita mahu melawan fahaman berkaitan perkauman. Islam tidak boleh dijadikan bibit pergaduhan, untuk jatuh hukum dan mencari salah seseorang semata-mata, maka saya ingin membawa kembali nilainya

“Kita kena yakin untuk menghadapi masalah, tetapi alhamdulillah, saya dah jadi Perdana Menteri, rakan-rakan dalam pasukan beri sokongan kuat. Dulu orang ingat kerajaan ini rapuh, tapi kini semakin kuat dengan 148 kerusi. Jadi buatlah kerja,” katanya. – UTUSAN

 

The post Kekuatan ekonomi adalah cabaran utama Malaysia Madani appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *