TASEK GELUGOR: Unit Kelompok Tani bagi kawasan Nyior Sebatang dan Lahar Yooi di sini, ditubuhkan semula demi memastikan kelangsungan hidup para petani dan pesawah lebih terjamin.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dengan tertubuhnya kembali unit tersebut petani dah pesawah khususnya dapat berinteraksi dengan agensi kerajaan terlibat dengan lebih tersusun dan sistematik.

“Usaha ini juga bagi menghidupkan semula unit tersebut yang sebelum ini dilihat kurang aktif sekali gus memastikan suara petani dan pesawah didengari kerajaan seterusnya dapat diambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Penubuhan Kelompok Tani Nyior Sebatang, di sini hari ini.

Dalam mesyuarat itu, para petani diberi peluang menyuarakan kegusaran mengenai tanaman yang diusahakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian negeri serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) yang turut hadir.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Saiful berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ketika sesi Parlimen baru-baru ini untuk menyuarakan mengenai bantuan kepada petani dan pesawah di Tasek Gelugor.

“Meskipun belum ada maklum balas, namun mereka menyambut baik cadangan kita dan saya rasa kita patut bagi ruang untuk kementerian membuat perangkaan mengenai perancangan aktiviti untuk tahun ini dan saya akan ikuti perkembangan lanjut lagi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelompok Tani Nyior Sebatang, Mohamad Hizir Saad berkata, penubuhan semula unit kelompok tani tersebut adalah usaha meningkatkan taraf hidup mereka yang dikatakan kian merosot.

“Ini disebabkan pesawah di kawasan Nyior Sebatang dan Lahar Yooi berdepan isu kenaikan kos input seperti baja dan racun yang semakin membebankan.

“Pesawah juga berdepan masalah serangan penyakit dan tanaman tenggelam disebabkan banjir setiap kali musim hujan selain masalah benih padi yang kurang berkualiti apabila hasil yang diperoleh hanya sekitar antara dua hingga tiga tan berbanding empat hingga lima tan pada musim sebelum ini,” katanya.

Mohamad Hizir menambah, adalah penting unit kelompok tani ditubuhkan supaya semua isu dapat dibincangkan dengan lebih terperinci serta mendapat kata sepakat dalam mencari penyelesaian.

“Kewujudan kelompok tani adalah penting bagi membolehkan 80 hingga 90 pesawah membabitkan kawasan tanaman seluas 250 hektar di sini (Nyior Sebatang dan Lahar Yooi) mampu mencari jalan penyelesaian bersama dalam menghadapi segala isu yang timbul,” katanya. – UTUSAN

The post Kelompok Tani kembali ditubuhkan, jamin kestabilan pesawah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *