LONDON: Pasangan suami isteri di Yokshire Selatan terpaksa mengikat perut dan berlapar hampir setiap hari kerana menanggung kos yang tinggi untuk menampung keperluan anak bongsu mereka yang menghidap kanser.

Lapor Mirror UK, anak bongsu pasangan itu, Nathan Peet yang berusia 3 tahun mengalami kecacatan spina bifida yang jarang berlaku menyebabkan dia tidak boleh berjalan atau bercakap.

Setiap hari dia memerlukan pam penyusuan sementara setiap malam dia perlu bergantung kepada mesin oksigen untuk memastikan dia terus bernafas.

Masalah berkenaan menyebabkan keluarga yang tinggal di Rotherham itu bergelut untuk membayar bil elektrik dan gas yang melambung tinggi mencecah hampir 200 pound (RM1,060) sebulan.

Tambah menyukarkan keadaan apabila Ant dan pasangannya, Louise tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga Nathan sepenuh masa.

“Kami tiga beranak kadang kala tidak makan dan hanya minum teh atau kopi demi memastikan keperluan Nathan dipenuhi.

“Ketika Nathan pertama kali dilahirkan, dia mampu makan sendiri, tetapi keadaannya semakin merosot dan dia kini bergantung kepada bantuan oksigen, pam susu serta alatan lain yang semuanya perlu dicas pada waktu malam.”

“Situasi ini membuatkan kami berasa cemas hampir setiap hari. Seperti kami telah gagal sebagai ibu bapa,” kata Louise.

Keluarga tersebut kini hanya bergantung kepada elaun penjaga dan manfaat sara hidup yang disediakan kerajaan untuk menampung kehidupan seharian mereka. 

The post Keluarga ikat perut tampung kos tinggi rawatan anak  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *