PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diarahkan menyantuni keluarga mangsa kes pembunuhan membabitkan seorang kanak-kanak Kurang Upaya (OKU) yang terjadi di Bau, Sarawak, baru-baru ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, tindakan bersesuaian diambil untuk pemeliharaan dan perlindungan berdasarkan Seksyen 17 Akta Kanak-kanak 2001.

“Saya memandang serius berkenaan kes pembunuhan kanak-kanak OKU berusia enam tahun yang terjadi di Bau, Sarawak dan dimaklumkan Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan kes ini.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai yang mengetahui tentang kes penderaan boleh terus menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang terdekat bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan OKU maut dipercayai akibat dipukul oleh teman lelaki ibunya, pertengahan bulan lepas.

Mangsa berusia enam tahun terbabit dipercayai dipukul suspek berusia 35 tahun antara 15 dan 17 Disember lalu menyebabkan ibu mangsa bersama anak perempuannya tidak lagi berani pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon yang mengesahkan kejadian itu berkata, satu laporan polis dibuat pada 21 Disember berkaitan kejadian tersebut.

“Soal siasat terhadap suspek mendapati dia telah memukul anak bongsu teman wanitanya itu sehingga tidak bernyawa dan membuang mayat mangsa di kawasan semak di Kampung Kranji,” katanya. – UTUSAN

The post Keluarga mangsa kes bunuh kanak-kanak OKU dilindungi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *