SHAH ALAM: Sebanyak 98 buah tempat tadahan air yang terdiri daripada kolam, tasik dan bekas lombong akan digunakan kerajaan Selangor sebagai sokongan bekalan air sekiranya berlaku kemarau pada tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mewartakan 20 bekas lombong selain mengenal pasti 78 kolam tambahan baru bagi perkara ini.

“Daripada keseluruhan itu, kerajaan negeri meluluskan 21 buah kolam dipilih untuk dinaik taraf dalam Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

“Kolam-kolam yang dipilih ini dijangka mampu menyediakan tambahan bekalan air dengan ketahanan selama dua bulan,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze yang bertanyakan apa pelan tindakan kerajaan negeri untuk menghadapi kemarau berpanjangan bermula tahun 2025.

Sementara itu, Izham memaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Pengaliran (JPS) Selangor akan menilai 127 kolam takungan banjir yang ada di negeri sebagai sumber bekalan air bagi menghadapi fenomena tersebut.

“Ini bagi melihat sama ada juga boleh bertindak dwifungsi iaitu sebagai takungan banjir dan sumber air alternatif ketika musim kemarau,” tegasnya. –UTUSAN

The post Kemarau 2025: Selangor sedia 98 tempat tadahan air sokongan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *