BAGAN DATUK: Menjelang pengundian awal esok, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, meminta mereka yang mengalami penderitaan selepas Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) agar kembali menyokong BN.

Menurut beliau, selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah diikuti 17 bulan di bawah Perikatan Nasional (PN), rakyat  tidak memperoleh apa yang dijanjikan kepada mereka sehingga digelar kerajaan gagal.

“Insya-Allah daripada 10 manifesto yang menjadi teras dan 99 aku janji yang diperincikan, apa yang kita sebutkan itu akan menjadi janji yang akan dilaksanakan.

 “Kita juga mengambil kira semua pengundi awal terdiri daripada yang berpakaian seragam dan juga petugas-petugas pilihan raya, insya-Allah kita akan melaksanakannya sepenuhnya,” jelas beliau ketika ditemui pemberita selepas hadir majlis Santai Bersama Penduduk Perumahan Awam Bagan Datuk di sini, hari ini.

Sejumlah 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam proses pengundian, esok.

Jumlah itu terdiri daripada 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sementara itu, mengulas kehadiran Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy yang berkempen untuk BN di Bagan Datuk, Presiden UMNO itu berkata, ia adalah atas kapasiti peribadi bekas Menteri Perpaduan Negara itu, dan bukan atas jemputan beliau.

Berhubung kenyataan calon BN di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, yang mahu ‘membersihkan UMNO’, beliau meminta media bertanya sendiri apa yang dimaksudkan oleh Menteri Kesihatan itu.

“Saya tidak tahu (jika BN ada masalah sekarang), saya okey dengan dia, jika tidak okey takkanlah saya menamakan beliau sebagai calon (BN),” jelas beliau. – UTUSAN

The post Kembali undi BN jika sengsara selepas PRU14 – Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *