KULIM: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu bersedia membawa suara rakyat atas kapasiti pembangkang di Dewan Rakyat.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah berkata, beliau juga mahu berterima kasih kepada pucuk pimpinan PN kerana memberi kepercayaan bertanding di situ.

Katanya, beliau percaya keputusan itu juga adalah mesej jelas daripada rakyat Malaysia dan warga Padang Serai yang menolak kerajaan dan Kabinet kleptokrat serta membantah pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

“Ia juga satu signal yang jelas bahawa Perdana Menteri baharu kita untuk berhati-hati kerana rakyat sentiasa menghakimi keputusan yang dibuat oleh beliau.

“Saya beraspirasi untuk bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan wakil rakyat yang lain yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU15 ini untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan memantau tindak-tanduk kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang malam tadi.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah pada pukul 10.55 malam di pusat penjumlahan rasmi undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini.

Azman berkata, kemenangan itu juga adalah bukti rakyat Padang Serai menerima kehadirannya di sebalik tuduhan pihak lawan kononnya beliau sebagai pengkhianat atau katak yang melompat parti.

“Ketika kempen berlangsung lebih kurang sebulan, antara naratif kempen yang dimainkan PH adalah menyebut bahawa saya pengkhianat, katak dan sebagainya. Sebenarnya keputusan di Padang Serai menunjukkan rakyat menolak pengkhianat iaitu Perdana Menteri yang melantik Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan perasuah. 

“Itu adalah pengkhianat sebenar kepada negara. Jadi saya telah membuktikan rakyat faham perjuangan saya, bagaimana saya membawa perjuangan ini dalam PN dan mereka cukup yakin saya boleh membawa aspirasi PN di peringkat Parlimen,” katanya. UTUSAN

The post Kemenangan PN ingatan kepada kerajaan agar berhati-hati appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *