PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan kepada tujuh teras utama bagi mengemudi sistem pendidikan negara dalam Kerajaan Perpaduan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia termasuk menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid maka aduan, cadangan dan pertanyaan boleh dikemukakan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan kementerian termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan Kaunter Khidmat Pelanggan.

“Saya akan memastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar0 khas di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, teras kedua pula akan memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Katanya, penekanan itu penting bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme.

“Teras ketiga pula akan memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuk dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.

“Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar,” katanya.

Fadhlina berkata, teras keempat adalah memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan.

“Kelima pula akan memberi fokus kepada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.

“Oleh itu, saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya dan memberi tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan.

Jelasnya, teras keenam akan memberi tumpuan kepada usaha mengubahsuai dan menaik taraf sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Teras ketujuh pula meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah termasuk mengadakan libat urus bersama agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan bawah kementerian.

“Saya akan mengarahkan KSU untuk melihat perkara ini. Kementerian Pendidikan akan mengemukakan cadangan yang bersesuaian untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya. – UTUSAN

The post Kementerian Pendidikan tumpu tujuh teras utama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *