LUMUT: Kementerian Pertahanan berpuas hati dengan status terkini proses pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) termasuk sebuah daripada enam kapal yang diyakini siap pada tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasil lawatannya ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini mendapati keseluruhan pembinaan kapal-kapal tersebut menepati masa ditetapkan secara berperingkat mengikut kesesuaian masing-masing.

Menurutnya, beliau amat gembira melihat perkembangan pembinaan LCS yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Saya penuh yakin kapal yang pertama dapat siap pada tahun 2024, boleh jadi dalam pertengahan tahun depan dan selepas itu kita akan buat sea trial.

“Kapal kedua pun begitu, kapal ketiga dan keempat ambil masa dalam dua hingga tiga tahun.

“Harapan saya projek ini akan dapat dilaksanakan setelah segala masalah dapat kita selesaikan, kita rundingkan kerana projek ini terbengkalai selama tiga tahun lebih, mulai 2019 sudah diberhentikan.

“Saya yakin kapal pertama ini akan siap pada 2024. Saya yakin sebab jika kita ikut jadual, tapi jika tak ikut jadual tak boleh juga,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di Pangkalan TLDM di sini semalam.

Menurut Mohamad, disebabkan masalah yang timbul ekoran projek itu tergendala, kementerian dalam peringkat untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan syarikat-syarikat vendor yang terlibat.

Beliau berkata, sebaik sahaja selesai, beliau akan memberikan taklimat kepada kementerian yang berkaitan dengan projek LCS iaitu Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertahanan sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk memberi taklimat kepada perdana menteri, menteri kewangan dan jemaah menteri betapa projek ini perlu diteruskan dan tiada ada lagi kekangan masa yang terbuang begitu sahaja.

“Saya yakin ia tidak ada apa-apa masalah cumanya kita perlu selesaikan dalam tempoh enam bulan dengan vendor, pembekal utama. Insyallah ini dapat diselesaikan dan projek ini dapat diteruskan,” katanya.

Menurutnya, projek pembinaan LCS adalah sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan pertahanan demi kedaulatan negara.

Katanya, usaha itu turut membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi merealisasikan penyiapan aset ketenteraan berkenaan.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara. Di rantau Asean, kita pernah dikenali kerana memiliki ketumbukan tentera laut yang disegani dan kita mahu kembali seperti dulu.

“Kita mahu pastikan kedaulatan negara terjaga, kita tak mahu orang acah-acah kita, kita tak mahu orang cuba-cuba kita,” katanya. – UTUSAN

The post Kementerian Pertahanan puas hati status terkini pembinaan LCS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *