JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kempen Barisan Nasional (BN) Johor dilihat lemau dan tidak semeriah dahulu disebabkan tidak mendapat peruntukan mencukupi selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meringkuk dalam penjara.

Beliau berkata, situasi itu memberi lebih semangat kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi lebih banyak kerusi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Beliau yang juga calon Parlimen Pandan berkata, hasil tinjauan yang dilakukannya sejak semalam mendapati  situasi tersebut adalah kempen terburuk BN dalam sejarah PRU.

“Kalau tengok kempen BN sebelum ini, selalunya belum hari penamaan calon pun dia sudah bersedia, semua dah nampak bagus dengan bendera dan poster sudah dinaikkan di mana-mana.

“Saya rasa ini disebabkan ‘banker’ mereka tengah bercuti di hotel dekat Kajang, jadi duit peruntukan tak ada. Ada juga orang UMNO beritahu bahawa duit belum turun,” katanya ketika berucap pada Sembang Santai Bersama Masyarakat di Taman Ehsan Jaya, di sini hari ini. 

Yang hadir sama calon PH bagi Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse. 

Rafizi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, tinjauan yang dibuat di Parlimen Tebrau, Johor Bahru dan Segamat mendapati keadaan kempen yang suram.

Dakwanya, keadaan itu berlaku setelah UMNO, MCA dan MIC tidak biasa mengotorkan tangan mereka untuk melakukan kerja ini setelah ia dibuat oleh kontraktor yang berbayar.

“Kalau tengok kali ini, banyak tempat menyaksikan PH yang lebih ke depan dari segi persediaan kempen berbanding BN walaupun mereka baru sahaja menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Mac lalu.

“Keadaan ini memberi kita kekuatan untuk memastikan kemenangan calon kita di selatan negeri ini melibatkan Parlimen Tebrau, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pulai dan Kulai,” katanya. – UTUSAN

 

The post Kempen BN lemau, ‘banker cuti di Kajang’ – Rafizi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *