PUTRAJAYA: Kemudahan pintu automatik di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor untuk warganegara Singapura yang melakukan perjalanan harian ke negeri berkenaan dijangka boleh digunakan bermula awal Disember ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kemudahan itu bakal memberi faedah kepada 38,000 warga Singapura yang memasuki negeri Johor setiap hari bagi membeli-belah dan melakukan aktiviti rekreasi.

“Kita nak lakukan secepat mungkin kerana Disember sudah mula musim cuti, kalau boleh akhir bulan ini atau mungkin awal Disember (disiapkan).

“Selain itu, kemudahan berkenaan juga dapat mengurangkan kesesakan di waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai-Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan KP29 Siri 1 Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud melancarkan kemudahan pintu automatik untuk warga asing pemegang pas jangka panjang di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, ia memberi manfaat kepada lebih 1.8 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang pelbagai kategori di laluan keluar masuk KLIA dan KLIA2. – UTUSAN

The post Kemudahan pintu masuk automatik Malaysia-Singapura appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *