PETALING JAYA: IJM Land Berhad melihat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) selanjutnya akan memberi impak yang minimum dan hanya akan menimbulkan masalah jangka pendek kepada sektor hartanah.

Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad, Datuk Wong Tuck Wai berpendapat, kenaikan kadar semasa dan akan datang hanyalah untuk menormalkan kadar faedah ke tahap pra-pandemik.

“Jadi saya rasa pembeli masih selesa dengan keadaan itu. Namun, kenaikan yang melebihi 3.25 peratus boleh memberi kesan negatif ke atas jualan hartanah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor terbabit, Tuck Wai berkata, isu rantaian bekalan yang berterusan ditambah dengan kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja memberi kesan langsung ke atas kos dan harga.

“Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan dan kawalan standard, kami menggunakan teknologi inovatif dan menyokong sistem bangunan berindustri (IBS) dalam pembinaan dan menggabungkan reka bentuk dan bahan yang kos efektif dalam projek kami bagi mengurangkan kos pembinaan dan mengekalkan kemampuan perumahan.

“Menyedari cabaran ekonomi baru-baru ini yang memberi kesan secara langsung kepada pembeli rumah, kami telah memulakan inisiatif untuk memudahkan proses pemilikan rumah yang lebih mudah diakses,” ujarnya.

Sebagai contoh, IJM Land bekerjasama dengan rakan kongsi utama pihak berkepentingan untuk mewujudkan pelbagai pengaturan pembiayaan yang inovatif untuk pelanggan yang membolehkan mereka memiliki rumah idaman dengan mudah.

Jelasnya, pakej itu terdiri daripada skim pemilikan mudah dan penjimatan serta insentif yang hebat untuk membantu pencari rumah.

Walaupun berdepan dengan cabaran, pihaknya percaya sektor hartanah akan menyaksikan pertumbuhan permintaan yang stabil tahun ini walaupun di tengah-tengah kenaikan kadar faedah secara sederhana.

“Jelas sekali permintaan telah kembali berikutan pembukaan semula ekonomi dan itu dapat dilihat dalam sektor seperti makanan dan minuman, runcit serta perjalanan.

“Kenaikan kadar sudah pasti akan melembabkan sentimen pengguna dalam jangka pendek, tetapi ini boleh dikurangkan oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan ia dijangka akan dinaikkan lagi pada bulan ini bagi mengekang inflasi dan menstabilkan pasaran. – UTUSAN

The post Kenaikan OPR beri impak minimum kepada sektor hartanah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *