KAJANG: “Kenapa kita takut sangat dengan DAP, gabungan lain pun ada parti bukan Islam,” kata calon Pakatan Harapan (PH), Nik Omar Nik Aziz.

Menurut Nik Omar, DAP tiada bezanya dengan MCA, MIC malah, parti bukan Islam lain yang ada di Sabah dan Sarawak.

“Saya hairan kenapa segelintir pemimpin parti politik cuba menakut-nakutkan pengundi dengan kewujudan DAP dalam PH.

“Saya melihat perkara itu tidak berasas kerana kerjasama dengan parti bukan Melayu juga wujud dalam gabungan politik lain di negara ini.

“Apa yang ‘diratibkan’ untuk menakut-nakutkan pengundi itu hanya sesuai pada tahun 1960an dan 70an,” katanya ketika berucap pada siri Ceramah Ayuh Malaysia di Desa Pinggiran Putra, di sini malam tadi.

Nik Omar yang juga anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata,  jika calon DAP kalah sekali pun dalam pilihan raya, tetap akan ada parti bukan Melayu lain yang dipilih pengundi.

“Jadi, tidak menjadi masalah untuk pengundi memilih DAP. Dalam konteks hubungan politik pula, DAP secara jelas menyatakan ia akur dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Orang tanya saya, kenapa saya pilih PH. Dia (DAP) hormat institusi Diraja. Dia hormat Islam adalah agama Persekutuan, agama rasmi dan bahasa Melayu adalah bahasa Malaysia.

“Sebab itu saya kata, pilihan raya ini bukan masalah nak pilih iman atau pun kufur,” katanya. – UTUSAN

 

The post Kenapa takut sangat dengan DAP – Nik Omar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *