SEPANG: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan tentang rompakan kuasa.
Beliau berkata, pihak pembangkang seharusnya perlu menghormati proses yang dijalankan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mana pembentukan kerajaan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Saya rasa kenyataan Hadi amat tidak bertanggungjawab dan menunjukkan bahawa pimpinan PN tak ada kerja lain selain setiap hari ingin merancang untuk merompak kuasa atau mendapatkan kerajaan hari ini dengan cara pintu belakang.
“Ini baru 100 hari, sudah ada tanda-tanda dan bibit mereka ingin kucar-kacir kerajaan hari ini. Bagi saya ini satu tindakan yang menunjukkan mereka (PN) langsung tiada niat untuk melihat negara dan rakyat lebih sejahtera.
“Yang mereka pentingkan hanya kuasa politik, bagi saya kalau mereka ini bertanggungjawab, mainkan peranan sebagai pembangkang sebenar kerana ada pelbagai peranan di Parlimen,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kenyataan Hadi semalam, bahawa tindakan menjatuhkan kerajaan adalah biasa dalam politik.
Hadi berkata, PN berhak untuk meneruskan rancangan menumbangkan Kerajaan Perpaduan meskipun ada yang meremehkan perkara itu.
“Itu satu kenyataan politik (Kerajaan Perpaduan tumbang) dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD (Akuan Bersumpah), penyokong kerajaan berpaling (tadah). Itu berlaku.
“Kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati bersama-sama komponen sendiri. Ada berlaku. Sebab itu sesuatu tidak mustahil berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan, Kerajaan Perpaduan pada hari ini masih kukuh dan kuat serta pemimpin tertinggi setiap parti gabungan menunjukkan keyakinan serta kerjasama baik untuk menjayakan agenda kerajaan.
“Kita ada agenda pembangunan negara yang perlu diusahakan, bukan setiap hari cakap pasal politik sahaja, ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) nanti mereka boleh berkempen,” katanya. – UTUSAN
The post Kenyataan Hadi tak bertanggungjawab, hanya fikir mahu rompak kuasa appeared first on Utusan Malaysia.